Fenomena Awan Bergaris Panjang, ‘Garis Badai’ Kelihatan Di Sabah

Hujan lebat di sekitar Putatan dan Kota Kinabalu disusuli dengan satu fenomena awan yang kelihatan berbentuk garisan panjang, menimbulkan tanda tanya warganet di media sosial pada awal pagi Jumaat.

Fenomena ini dikenali sebagai ‘garis badai’ iaitu merupakan sekumpulan barisan awan ribut petir yang bergerak dari arah laut ke daratan dan selalunya berlaku ketika Monsun Barat Daya iaitu dari Jun hingga September.

Pengarah Meteorologi Sabah, Amirzudi Hashim menjelaskan bahawa garis badai yang melanda di kawasan pantai barat Sabah itu ialah barisan ribut petir yang bergerak panjang boleh mencapai sehingga ratusan kilometer dan tempoh hayat selama beberapa jam.

“Garis badai menghasilkan langkisau dan hujan lebat yang dahsyat serta meluas berbanding ribut petir individu.

Garis badai yang berlaku pada awal pagi tadi mula terbentuk di Laut China Selatan berdekatan perairan Brunei pada awal subuh dan bergerak sepanjang Pantai Barat Sabah.

Hujan mula direkodkan di Stesen Meteorologi Labuan bermula pada jam 5 pagi dan di Stesen Meteorologi Kota Kinabalu bermula pada jam 7 pagi,” jelasnya.

Garis badai kerap dilihat ketika monsun Barat Daya di sepanjang pantai Sabah dan Sarawak yang menghadap Laut China Selatan serta barat Semenanjung Malaysia.

“Garis badai biasanya berlaku ketika menjelang subuh dan awal pagi. Namun, garis badai kadang kala boleh terbentuk pada waktu petang dan bergerak ke daratan seiring dengan angin lazim.

Angin barat daya pada hari itu berkelajuan antara 20-25 knots bertiup di persisiran pantai barat Sabah.

Gabungan antara keadaan atmosfera yang panas dan lembab, bayu darat serta tiupan angin barat daya yang agak kencang menggalakkan pertumbuhan awan kumulonimbus di sepanjang pantai di barat Sabah.

Sebelum ini, beberapa gambar yang dirakam orang ramai serta dimuat naik di media sosial yang memaparkan keadaan awan yang berbentuk garisan panjang di sekitar Kota Kinabalu.

Untuk baca artikel-artikel berkaitan, anda boleh klik pada pautan di bawah:

Sumber:

Artikel Lain Untuk Di Baca