FAM Umumkan 3 Pasukan Yang Berkemungkinan Akan Menyertai Kejohanan 4 Negara Di Kuala Lumpur

New Zealand, Oman dan Singapura dikhabarkan akan menjadi tiga pasukan selain Malaysia sebagai tuan rumah yang akan bertanding dalam kejohanan 4 negara pada bulan Mac nanti.

Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) telah mendedahkan tiga pasukan yang telah menyatakan minat mereka untuk menyertai kejohanan bertempat di Kuala Lumpur pada tarikh kalendar antarabangsa FIFA yang akan jatuh antara 18 hingga 26 Mac 2019. Kejohanan tersebut akan menjadi medan buat semua negara yang bertanding untuk mencatatkan keputusan yang baik memandangkan ia akan mempengaruhi kiraan mata ranking FIFA.

Di antara 4 pasukan ini, Oman berada di ranking FIFA paling baik iaitu ke-90, diikuti oleh New Zealand di tangga ke-119, Singapura di tangga ke-165 dan terakhir sekali pasukan negara kita, Harimau Malaya di tangga ke-167.

Oman baru saja beraksi di kejohanan Piala Asia 2019, menamatkan saingan di peringkat kumpulan di belakang Jepun dan Uzbekiztan. Namun begitu mereka bernasib baik untuk layak ke peringkat kalah mati sebagai pasukan di tempat ke-3 dengan mata terbanyak sebelum kemaraan mereka di kejohanan itu disekat oleh Iran.

New Zealand yang kali terakhir beraksi di Piala Dunia pada edisi 2010 di Afrika Selatan dipercayai berminat untuk menyertai kejohanan anjuran FAM ini berikutan hubungan baik jurulatih mereka iaitu Fritz Schmid dengan FAM. Fritz Schmid sebelum ini bertugas di FAM sebagai pengarah teknikal. Dalam kejohanan Piala Dunia 2010, New Zealand telah menamatkan kempen di peringkat kumpulan dengan tiga seri; 1-1 dengan Slovakia, 1-1 dengan Itali dan 0-0 dengan Paraguay.

Singapura pula dipercayai mampu menambah rencah dan tarikan dalam kejohanan kali ini jika mengambil kira faktor perseteruan Harimau Malaya dengan Singapura sejak sekian lama. Pada Piala AFF edisi yang lalu, Singapura gagal melayakkan diri ke separuh akhir apabila sekadar berada di tempat ke-3 kumpulan di belakang Thailand dan Filipina.

FAM ketika ini menunggu ketiga-tiga pasukan jemputan itu untuk mempersetujui peraturan kejohanan sebelum membuat pengumuman rasmi senarai pasukan yang bakal bertanding dalam kejohanan kali ini. FAM dilihat dalam rangka memperkemaskan perancangan untuk Harimau Malaya dalam misi memperbaiki kedudukan ranking FIFA skuad Tan Cheng Hoe menjelang kelayakan Piala Dunia 2022 yang akan bermula pada pertengahan tahun nanti.

Ranking yang lebih baik pastinya dapat membantu Harimau Malaya untuk mengelakkan daripada diundi menentang pasukan-pasukan gergasi terutamanya di peringkat awal saingan pusingan kelayakan nanti.

Sumber:

Artikel Lain Untuk Di Baca