Fakta! Swafoto 5 Kali Ganda Lebih Bahaya Berbanding Serangan Jerung

Siapa sahaja yang tidak gemar berswafoto? Mungkin ada tetapi selalunya, majoriti pasti jadikan swafoto ini sebagai benda ‘wajib’ dilakukan sepanjang masa. Tengah berjalan pun nak berswafoto, sambil makan pun sempat lagi!

Namun begitu, ramai yang tidak tahu bahawa berswafoto yang menjadi sensasi global sejak sedekad lalu sebenarnya membunuh lima kali ganda lebih ramai orang berbanding serangan jerung. Bunyinya macam tidak masuk akal tetapi itulah kenyataan yang benar-benar berlaku.

Percaya atau tidak, angka kematian juga meningkat dari masa ke masa semenjak telefon pintar menjadi semakin sofistikated dan kewujudan batang swafoto yang membolehkan pengguna merakam gambar sendiri dari jarak jauh.

Di samping itu, ia juga mendorong mereka mengambil risiko semata-mata untuk mendapatkan gambar yang lebih sempurna.

Menurut Jurnal Perubatan Keluarga dan Penjagaan Utama India, antara Oktober 2011 hingga November 2017, sekurang-kurangnya 259 maut ketika berswafoto di seluruh dunia, berbanding hanya 50 yang terbunuh akibat serangan jerung pada tempoh sama, lapor Berita Harian.

Meskipun selalunya wanita yang paling kerap berswafoto, lelaki muda lebih gemar untuk mengambil risiko menjadikan mereka merangkumi tiga perempat kematian akibat swafoto. Kematian yang berlaku membabitkan kes lemas dan jatuh atau kemalangan sewaktu berswafoto.

Rekod bilangan paling ramai meninggal dunia ketika merakam gambar sendiri dipegang oleh negara India yang mempunyai lebih daripada 1.3 bilion penduduk dan 800 juta daripadanya merupakan pengguna telefon pintar. Setakat ini, 159 kes berkaitan perkara ini telah direkodkan di India.

Jumlah itu melebih separuh daripada jumlah kes peringkat global. Ia membuktikan bahawa golongan muda di sana sanggup mengambil risiko demi mendapatkan gambar yang cantik. Keadaan ini memaksa India menubuhkan zon ‘larangan swafoto’ di mana 16 daripadanya terletak di Mumbai.

Negara berkenaan jauh mendahului Rusia dengan 16 kematian manakala Amerika Syarikat pula mencatatkan 14 kematian.

Artikel Lain Untuk Di Baca