Perayaan Deepavali atau Diwali jatuh pada 4 November ini, juga dikenali sebagai pesta cahaya.
Kebiasaannya perayaan ini akan disambut selama tiga hingga ke lima hari berturut-turut bagi masyarakat di India.
Namun di Malaysia, mereka hanya menyambutnya hanya sehari sahaja. Tetapi terpulang juga kepada setiap individu yang ingin meraikannya sebanyak mana.
Ini adalah beberapa fakta menarik berkaitan tradisi perayaan Deepavali:
1. Pembersihan Rumah
Kaum India mempunyai kepercayaan bahawa Dewi Lakshmi, iaitu dewi yang memberi kesejahteraan, kekayaan dan kemakmuran akan memberkati tempat tinggal yang bersih pada musim perayaan ini.
Bagi menyambut kedatangan Dewi Lakshmi pada malam Deepavali, seluruh keluarga akan membersihkan dan menghias rumah secantik mungkin.
Selain itu, pembersihan rumah juga dibuat bagi memastikan persediaan untuk menerima tetamu.
2. Mandi Minyak

Salah satu tradisi yang penting dan sudah mula dilupakan ialah tradisi mandi minyak. Amalan ini sebenarnya sangat bermanfaat untuk kesihatan namun kebanyakan orang sudah mengabaikannya dan hanya mandi seperti biasa.
Orang zaman dahulu menjadikan mandi minyak pada hari yang baik ini sebagai amalan kerana ia membantu hilangkan haba dari badan dan mengurangkan tekanan darah. Tambahan pula, mandi minyak turut mampu memberikan kesan awet muda.
3. Memakai Pakaian Baru
Perayaan ini menjadi simbolik lambang kejayaan mengatasi kejahatan. Justeru itu, sudah menjadi kebiasaan mereka untuk memakai pakaian baharu pada hari Deepavali menandakan permulaan sesuatu yang baharu.
4. Membuat Kudapan ‘Periuk Minyak’

Adat buat kaum India semasa perayaan ini untuk menggoreng makanan manis atau berperisa dalam periuk besar minyak sebagai tanda tuah dan kesejahteraan.
Antara makanan simbolik Deepavali ialah muruku dan idhili. Manakala manisannya pula seperti nei urundai, ladoo, gulab jamun, jalebi dan paal guva.
Empat tradisi ini merupakan sebahagian daripada amalan semasa meraikan Deepavali. Diharap amalan tradisional ini dapat terus dikekalkan lagi terutamanya kepada golongan muda hari ini. Kepentingan memelihara budaya masing-masing amat bagus agar tidak ditelan zaman.
Untuk baca artikel-artikel berkaitan, anda boleh klik pada pautan di bawah: