Fahmi Reza Kemukakan Representasi Kepada Jabatan Peguam Negara

Pereka grafik, Mohd Fahmi Reza Mohd Zarin atau lebih dikenali sebagai Fahmi Reza telah mengemukakan representasi kepada Jabatan Peguam Negara berhubung dua pertuduhan membuat penghantaran komunikasi jelik yang dimuat naik menerusi laman media sosial Twitter dan Facebook miliknya, tahun lepas.

Perkara itu dimaklumkan peguam N.Yohendra yang mewakili Mohd Fahmi Reza, 45, semasa sebutan kes itu hari ini di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen M.M Edwin Paramjothy.

Yohendra berkata surat representasi itu dihantar kepada Jabatan Peguam Negara semalam (28 April) dan salinan asal representasi itu telah diserahkan kepada pihak pendakwaan hari ini.

Perkara itu disahkan Timbalan Pendakwa Raya Najihah Farhana Che Awang. Dua pertuduhan komunikasi jelik itu adalah berhubung isu peraturan kuarantin terhadap menteri yang pulang dari lawatan rasmi di luar negara dan pengharaman penjualan minuman keras di negara ini.

Ketika prosiding itu, mahkamah telah menetapkan tarikh-tarikh bicara iaitu pada 7 dan 20 Julai bagi pertuduhan komunikasi jelik isu kuarantin menteri manakala 8 dan 9 Ogos ini untuk komunikasi jelik berhubung isu minuman keras.

Mahkamah turut menetapkan 8 Jun depan untuk sebutan bagi perkembangan representasi tersebut. Pada 10 Feb lepas, Mohd Fahmi Reza mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini atas pertuduhan membuat penghantaran komunikasi jelik menerusi aplikasi Twitter miliknya membabitkan isu kuarantin terhadap menteri pulang dari lawatan rasmi di luar negara.

Untuk baca artikel-artikel berkaitan, anda boleh klik pada pautan di bawah:

Sumber:

Artikel Lain Untuk Di Baca