Negara jiran, Indonesia digemparkan dengan penemuan mayat seorang gadis berusia 21 tahun di dalam bilik di rumah saudaranya di Perumahan Citra Elok, Jalan Tamangapa Raya 5, Kelurahan Tamangapa, Kecamatan Manggala, Kota Makassar pada Sabtu lalu.
Mayat mangsa yang bernama Asmaul Husna ditemukan oleh sepupu merangkap teman sebiliknya yakni Satriani, 27 dalam keadaan terbaring dengan mukanya ditutup menggunakan bantal watak animasi Hello Kitty dan terdapat kesan kelar pada lehernya.
Motif kejadian dikatakan berpunca daripada tindakan Asmaul Husna yang mahu mendedahkan kandungan berusia empat bulannya kepada keluarga teman lelaki.
Dek kerana tidak mahu perbuatannya diketahui keluarga, suspek yang dikenali sebagai Ridhoyatul Khaer, 20, telah mengambil keputusan untuk menamatkan riwayat Asmaul Husna.
Menurut laporan, insiden pembunuhan terbabit dilakukan tertuduh saat mangsa sedang berbaring di dalam kamarnya. Suspek dikatakan secara tiba-tiba mengambil bantal Hello Kitty berkenaan dan menekup muka gadis malang itu selama lebih kurang 15 minit.
Setelah mangsa mulai lemah, tertuduh segera pergi ke dapur untuk mengambil sebilah pisau berkarat sebelum bertindak mengelar leher mangsa sekaligus menyebabkan kematiannya. Tanpa rasa bersalah, suspek kemudiannya segera melarikan diri dari tempat kejadian.
Ridhoyatul Khaer berjaya diberkas polis setelah pihak berkuasa mencurigai tindak-tanduknya yang berada bersama-sama dengan orang ramai yang mengerumuni rumah mangsa saat mayatnya ditemukan.
Sehingga kini, pihak polis masih tidak dapat memastikan sama ada mangsa yang merupakan pelajar semester tujuh di Universitas Islam Negri (UIN) Alauddin, Makassar, Sulawesi Selatan benar-benar hamil atau tidak ekoran masih menunggu keputusan daripada pihak hospital.
Sehubungan dengan itu, Ridhoyatul Kaer kini berdepan hukuman penjara 15 tahun atas jenayahnya yang boleh didakwa mengikut Pasal 228 KUHP kerana membunuh.