Enggan Hadir Kelas Tambahan Bahasa Arab, Murid Ini Dakwa Dirinya Diculik

Peristiwa yang berlaku di Klang melibatkan seorang kanak-kanak perempuan dikenali sebagai Nurul Wahidah Abdul Rahman berusia 11 tahun mendakwa dirinya diculik oleh sekumpulan lelaki menaiki van putih.

Difahamkan bahawa dakwaan berbentuk nota berserta tandatangan telah dimuat naik menerusi akaun Facebook milik kanak-kanak tersebut. Jelasnya lagi, cubaan menculik sewaktu mangsa baru pulang dari menghadiri kelas tambahan gagal apabila seorang lelaki tua telah membantu dan menyelamatkannya. Kejadian dikhabarkan berlaku pada jam 10.30 pagi.

Tindakan kanak-kanak ini seterusnya tular dan menimbulkan kekhuatiran warganet terhadap keselamatan anak-anak mereka. Keluarga mangsa dikatakan telah membuat laporan polis sebaik sahaja mengetahui cubaan menculik terhadap anak mereka di luar kawasan Sekolah Rendah Agama (SRA) Bukit Kapar Barat.

Walau bagaimanapun, mangsa akhirnya mengaku bahawa dakwaan tersebut adalah sengaja direka dan tidak benar sama sekali.

Dakwaan itu terpaksa dilakukan oleh Nurul Wahidah kerana mahu menarik perhatian keluarganya. Hal ini dilaporkan berpunca daripada kanak-kanak tersebut yang tidak berminat untuk menghadiri kelas tambahan Bahasa Arab di sekolah berkenaan.

Berhubung dengan peristiwa yang berlaku, Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner Nurulhuda Mohd. Salleh berpesan kepada masyarakat agar sentiasa berhati-hati apabila menyebarkan sebarang maklumat menerusi media sosial. Perkara ini penting bagi mengelakkan perasaan panik dalam kalangan warganet.

Tegas beliau, penyebaran berita palsu merupakan satu kesalahan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Sumber:

Artikel Lain Untuk Di Baca