Empat Kumpulan Pelajar Diberi Laluan Khas Ke IPT

Kementerian Pendidikan mengumumkan laluan khas untuk 4 golongan pelajar bagi memasuki universiti, mulai tahun ini.

Mereka ialah orang kelainan upaya (OKU), Orang Asli, pelajar isi rumah berpendapatan 40 peratus terendah (B40) dan atlet negara.

Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik, berkata kumpulan terbabit tidak perlu bersaing dengan calon daripada kumpulan arus perdana dan hanya perlu memenuhi syarat khas yang sudah ditetapkan oleh universiti yang dipilih.

“Jadi untuk empat golongan ini, kita beri laluan khas kepada mereka dan bagaimanapun mereka masih dipilih berdasarkan merit tetapi sesama mereka sahaja. Pertamanya ialah OKU, kita akan pilih antara OKU yang terbaik untuk masuk ke IPT.

“Keduanya ialah Orang Asli. Kita nak ramaikan bilangan mereka ini dapat belajar di IPT serta mereka juga akan bersaing sesama mereka dan kita akan pilih yang terbaik dalam kalangan mereka. Begitu juga dengan golongan miskin, berpendapatan rendah atau B40 yang akan turut menjalani proses yang sama.

“Tidak dilupakan ialah atlet kerana kita nak lahirkan lebih ramai atlet seperti di negara maju, Contohnya di Amerika Syarikat yang atletnya mendapat pendidikan universiti. Kita juga nak ramai atlet kita dapat melanjutkan pelajaran mereka kelak,” katanya ketika berucap merasmikan program “Jom Masuk IPT 2019” di Universiti Tun Hussein Onn, Batu Pahat.

Dr Maszlee berkata, dasar laluan khas itu merupakan manifestasi kepada konsep pendidikan untuk semua yang bertunjang kepada falsafah peluang yang saksama kepada semua pihak.

Penganjuran program “Jom Masuk IPT 2019” itu sejajar pembukaan permohonan kemasukan pelajar ke institusi pengajian tinggi awam yang bermula 25 Februari lalu hingga 2 April ini secara dalam talian di http://upu.mohe.gov.my

Sumber:
bharian.com.my

Artikel Lain Untuk Di Baca