Elakkan Mengambil 5 Makanan Ini Ketika Janji Temu Pertama Anda

Janji temu pertama adalah satu perkara yang sangat penting kepada sesetengah manusia. Ia merupakan langkah permulaan dalam menjalinkan hubungan yang lebih serius. Setiap orang yang terlibat dalam janji temu pertama pasti akan melakukan pelbagai persediaan diri yang secukupnya supaya dapat meninggalkan tanggapan yang sempurna kepada orang yang diminati setelah selesai janji temu.

Tahukah anda bahawa terdapat beberapa makanan yang perlu anda beri perhatian dan mengambilnya dengan kadar yang sesuai sebelum janji temu? Pengambilan makanan ini secara berlebihan akan menyebabkan anda melepaskan gas atau kata lainnya kentut pada janji temu pertama anda.

Kentut adalah perkara yang normal dalam kehidupan manusia dan juga sebagai tanda seseorang itu sihat. Namun, tidak dinafikan kentut pada janji temu pertama adalah sesuatu yang memalukan! Berikut kami kongsikan 5 makanan yang perlu dielakkan pengambilannya pada janji temu pertama anda.

1. Brokoli, kubis bunga dan kubis

Sayur-sayuran ini mempunyai serat yang tinggi dan ia akan sukar dicerna sekiranya diambil dalam kuantiti yang banyak. Bakteria di usus besar akan menggunakannya untuk tenaga lalu menghasilkan gas.

2. Gandum dan bijian

Gandum dan bijian membuatkan anda berasa untuk kentut. Ia adalah sama seperti sayuran di atas iaitu kedua-duanya mempunyai serat yang tinggi.

3. Produk tenusu

Produk tenusu seperti keju, mentega, dadih dan susu mengandungi sejenis gula iaitu laktosa. Kebanyakan orang tidak mempunyai enzim yang mencukupi untuk mencerna laktosa tersebut. Ia juga dinamakan intoleransi laktosa yang menyebabkan gas, kembung perut dan juga sembelit.

4. Kacang

Kacang juga mengandungi serat yang tinggi, serta beberapa jenis gula yang tidak dapat dicerna oleh badan anda dengan betul seperti raffinose dan stachyose. Bakteria di dalam usus anda akan memecahkan gula tersebut lalu menghasilkan pelbagai jenis gas seperti hidrogen, metana, dan juga sulfur (yang bertanggungjawab menjadikan kentut anda berbau).

5. Buah-buahan

Selain tinggi serat dalam kandungannya, epal dan pisang juga mengandungi sejenis gula fruktosa. Karbohidrat yang tidak dapat dicerna dengan baik oleh badan akan turun ke usus sebagai makanan kepada bakteria lalu menghasilkan gas. Namun, intolerasi fruktosa lebih jarang berlaku berbanding intoleransi laktosa.

Tips ini bukan sahaja boleh diguna pakai dalam pertemuan janji temu pertama bersama pasangan, malah ketika anda berada dalam situasi yang penting seperti dalam temu duga, mesyuarat dan sebagainya.

Semoga perkongsian ini bermanfaat untuk anda.

Penulis:

  • Muhammad Na’iman bin Muhamad Afandi adalah pelajar Fakulti Filem, Teater dan Animasi (FiTA) UiTM.
  • Prof Madya Dr. Mohd Syuhaidi Abu Bakar adalah Pensyarah Kanan dan Timbalan Dekan Penyelidikan dan Jaringan Industri (FiTA) UiTM.

Untuk baca artikel-artikel lain yang berkaitan, anda boleh klik pada pautan di bawah:

Artikel Lain Untuk Di Baca