Mengembara, melancong, travel – apa sahaja yang anda namakannya pasti saja sentiasa mengujakan setiap kalinya. Setiap perjalanan ke negeri orang akan memperluaskan pandangan dan menambahkan pengalaman hidup. Namun perlu selalu diingat – seringkali satu set peraturan yang tidak tertulis, kita terlepas pandang yang sepatutnya perlu diambil berat dalam mengawal kelakuan kita di tempat orang.
Daripada seremeh peraturan melintas jalan, ke tradisi dan adat yang sudah sebati dengan orang tempatan, ia boleh menjadi sesuatu yang menyulitkan diri kita, atau lebih teruk ia memberi kesan kepada orang lain (orang tempatan terutamanya).
Untuk mengelakkan daripada membuat perkara yang boleh mengganggu keseronokan perjalanan, baca tips etika travel ini yang mungkin boleh membantu membuatkan perjalanan anda jauh lebih menyenangkan.
1. Jangan ‘Over’ Sangat Ketika Tawar-Menawar
Siapa tak nak jimat duit kan? Dapat potongan harga dari €12 ke €10 sudah cukup memuaskan hati. Bolehlah daripada tak ada. Namun ‘beragak-agak’ lah ketika tawar-menawar tu. Janganlah keterlaluan sampai jauh sangat pengurangan harga yang diminta. Seperti kita di sini, peniaga terutamanya yang di jalanan pun mahu cari makan juga.
Ketika di Mekah, selepas saya tawar-menawar dengan seorang peniaga buat kali kedua selepas pengurangan harga yang pertama, tawaran saya ditolak peniaga tersebut.
“Tak boleh!” ujar beliau fasih berbahasa Melayu.
“Last. Diskaunlah sikit lagi. Boleh la.” pinta saya.
“No. You bakhil!”
Marah betul dia.
“Rilekslah, bang.” saya beredar dengan kecil hati.
Pertama kali dalam hidup saya digelar bakhil. Hampeh punya pak Arab!
2. Elakkan Berbicara Soal Politik
Ia bukan idea yang baik untuk menyatakan pendapat mengenai politik di negara yang kita bukan warganegaranya. Sudah tentu, jika ditanya pendapat anda tentang politik, ia mungkin langkah selamat untuk terlibat dalam perbualan, tetapi ingatlah untuk membalas secara sopan dan menghormati perspektif orang lain.
Sewaktu saya di Amsterdam, sedang saya menunggu bas di sebuah hentian kecil di Noord-Holland (pekan kecil berjarak 25km dari pusat bandar Amsterdam), saya disapa oleh seorang wanita agak berumur dalam bahasa ‘Dutch’. Sepatah haram saya tak faham apa yang diperkatakannya. Seketika kemudian, mungkin kerana dia perasan akan reaksi saya, dia bertanya saya, “Dutch or speak English?”
“English.” jawab saya pendek sambil menambah yang sehari sebelumnya saya baru tiba dari London.
Wanita itu kemudian menyambung sembang dengan bercerita hal politik Holland-England-Jerman dan kebenciannya yang mendalam terhadap Jerman dan sejarah ‘love-hate relationship’ dengan British.
Saya sekadar mengangguk dan sekali-sekala membalas bualnya dengan senyum dan juga, “ohhh.”
Syukur, sehinggalah bas sampai, kami berpisah secara aman. Tiada sengketa antara kami.
3. Elakkan Cuba Buat-Buat Tahu Guna Slang Tempatan
Dalam usaha untuk menyesuaikan diri, anda mungkin tertarik untuk menggunapakai slang tempatan. Penggunaan slang secara membabi buta adalah sangat berbeza daripada cuba berusaha untuk mempelajari dan bercakap bahasa tersebut. Selagi boleh, sebaiknya biarlah bercakap slang standard sahaja. Biar standard, asal selamat. Takut nanti tersalah sebut slang, nahas mendapat.
Teringat saya ketika di Perancis, ketika mahu ke tempat menginap saya dari Charles de Gaulle (lapangan terbang), saya bertanyakan seorang pemandu teksi untuk membawa saya ke stesen berhampiran AirBnB saya ketika itu iaitu di Stesen Guy Moquet.
“Gai Moqet.” kata saya penuh yakin. Namun, beliau terpinga-pinga mendengarnya.
“Gui. Moo. Kuet.” saya cuba lagi tuturkan dengan sebutan berbeza tapi kali ini lebih perlahan dengan harapan beliau faham. Sayangnya tidak begitu. Beliau masih tidak faham. Berputus asa, saya mengeluarkan telefon pintar dan menaip nama Guy Moquet lalu ditunjukkan kepada lelaki berumur 40an itu.
Sambil tersenyum, “ohh. Gi Makei!” ujar beliau sambil mengajak saya masuk ke dalam teksinya.
“Ceh. Sek kito ruponyo. Hahaha!” saya tergelak sendiri. (‘Gi makei’ di Malaysia difahami sebagai loghat Kelantan yang membawa maksud ‘pergi makan’)
Hari itu, saya belajar sedikit cara sebutan bahasa Perancis dan turut belajar yang bahasa Perancis sebenarnya suka buat susah nak sebut benda yang senang. Hahaha!
(Cerita ini tiada kaitan sangat dengan topik, tapi sekadar selingan hiburan. Harap terhiburlah. Saya sampai ke hari ini akan berasa geli hati apabila terkenangkan momen ini)
4. Jangan Berlagak Pandai – Sentiasa Ingat Bahawa Kita Adalah Tetamu
Apabila kita sebagai tetamu di negeri orang, terpulanglah kepada kita untuk menyesuaikan diri dengan sosio-budaya di sana – bukan sebaliknya. Bukan kerja kita untuk travel ke negara orang dan memberitahu mereka bagaimana perkara-perkara sepatutnya dan apa pula perkara-perkara yang tidak boleh dilakukan. Mereka lebih tahu apa yang baik dan apa yang tidak untuk tempat/negara mereka.
Ketika saya di Den Haag, saya secara tidak sengaja ternampak satu pasangan sedang ‘comolot’ di pelabuhan. Saya biarkan saja sambil selang beberapa saat curi-curi memerhati kembali. Lama juga mereka bercium. Agaknya mungkin ketika itu cuaca agak sejuk. Biarlah mereka panaskan badan sikit. Buat apa saya nak kacau pulak?
Jadi di situ saya telah mengamalkan sikap ‘jangan buat pandai’ dan ‘tak kacau orang’. Cukuplah sekadar curi pandang sahaja. Haha!
5. Elakkan ‘Buat Perangai’ – Bertimbang Rasa
Di lokasi-lokasi tumpuan pastinya ramai yang berebut untuk bergambar di tempat ‘hotspot’ itu. Jadi perhatikanlah kawasan sekeliling. Kalau perlu beratur, beraturlah. Kalau ada orang lain yang terlebih dahulu daripada kita, berilah dia/mereka laluan untuk bergambar terlebih dahulu. Budi bahasa amalan kita. Ingat tu.
Semasa berjalan pun patuhilah aturan laluan. Ketika menaiki eskalator, ikutlah tetapan tempat berdiri atau laluan berjalan. Biasanya kalau di Eropah, berdirilah di sebelah kanan. Janganlah menghalang dan mengganggu pergerakan orang lain yang mungkin mahu bergerak pantas. Anda mungkin sedang seronok bercuti, namun penduduk setempat tetap perlu bekerja dan cari makan, jadi janganlah sesekali membuatkan perjalanan mereka terganggu dan merimaskan.
Menghormati ruang orang lain juga penting ketika berada di dalam pesawat, kereta api atau bas. Simpanlah beg anda di atas rak bahagian atas dan bukannya di tempat duduk di sebelah anda. Itu tempat orang lain nak duduk. Jangan buat ‘perangai kampung’ macam tu.
Banyak lagi. Timbanglah rasa anda. Gitu.
Ketika di Madrid, saya pernah dicopet oleh dua orang penyeluk saku (pick-pocket) tua berumur sekitar 50-an. Nak cerita dari awal, panjang sangat dan terlalu dramatik ceritanya. Dipendekkan cerita, selepas saya berjaya menangkap salah seorang daripada mereka yang menyorokkan duit dan barangan saya dalam genggaman tangan di sebalik jaketnya, saya bersuara tegas kepada beliau, “You. You go. You go!” sambil membuat isyarat tangan menghalau.
Mereka mengangkat kedua belah tangan ke atas dan seketika kemudian beredar dari situ.
Baik dan bertimbangrasanya saya melepaskan pencuri begitu saja. Hahaha! Ya lah, kat tempat orang, manalah saya tahu sangat undang-undangnya. Nanti kalau disentuh atau marah lebih-lebih, kena tangkap polis sia-sia saja. Dapat semula barang yang dicuri tu pun kira dah bersyukur sangat dah masa tu.
6. Ambil Tahu Serba Sedikit dan Patuhi Undang-Undang
Lain negara, lain peraturan dan undang-undangnya. Jadi, sebelum sampai di negara orang, bacalah serba sedikit tentang peraturan asas terutamanya yang mungkin berbeza dengan kebiasaan di negara kita. Ini bagi mengelakkan kita melakukan kesalahan yang sudah menjadi kebiasaan atau perkara yang normal di negara kita.
Pada hari terakhir saya di Warsaw, Poland, selepas lampu isyarat bertukar merah, saya lekas-lekas melintas jalan pergi ke seberang berhampiran dengan Palac Kultury, sebuah menara ikonik di bandaraya tersebut. Tidak lama kemudian, saya lihat 2 orang anggota polis keluar daripada kereta peronda dan menghampiri saya. Saya mula rasa tak sedap hati. Semakin lama mereka semakin hampir menuju ke arah saya. “Memang datang kat aku ni.” saya makin berdebar. Apalah salah aku ni. Getus hati kecil.
Ya, memang anggota polis itu mendekati saya dan meminta saya menunjukkan passport. Kemudian salah seorang daripada mereka bertanyakan saya dari mana. Saya jawab, Malaysia. Mereka tanya dengan agak kasar, “di Malaysia kamu lintas jalan macam ni jugak ke?”
“Ya. Boleh melintas selepas lampu merah.”
“Sini tak boleh! Kamu akan disaman.”
Aduhai. Mujurlah selepas beberapa kali merayu, buat muka kesian dan beritahu mereka yang saya sudah ‘pokai’ kerana saya dah habiskan hampir semua cash yang ada memandangkan esoknya saya sudah mahu pulang ke Malaysia, mereka melepaskan saya. “Kamu pergi! Saya tak nak nampak muka kamu lagi.”
Ya, mujur. Kalau tidak, menginap dalam lokaplah saya pada malam tu.
7. Elakkan Perkara Sensitif – Berpakaian dan Bersikap Sewajarnya
Perkara asas, pemilihan pakaian di tempat orang sama ada atas faktor cuaca atau kesesuaian anutan adalah amat penting agar kita sendiri dapat bergerak dengan selesa. Ini terutamanya untuk ke tempat keagamaan yang selalunya memerlukan kita berpakaian dan berkelakuan sopan ketika melawat. Tak perlulah cuba menduga sensitiviti yang sedia terjaga dengan berpakaian atau berkelakuan tidak sopan. Apa lagi mahu cuba buat ‘palatau’ di situ.
Ketika di Vatican City, Italy, saya sangat teruja melihat keindahan seni arkitek bangunan-bangunan di situ yang sudah beberapa kali saya tonton di dalam filem. Kelihatan banyak betul salib ‘tersergam’ di sana-sini. Tapi tidaklah pula saya bersikap biadap dan melatah macam sesetengah orang di Malaysia ni. Pantang nampak salib sikit, sentap. Tengok atap rumah pelik sikit, salib. Tengok tiang lampu moden sikit, salib. Apa masalah entah.
Apa yang ingin ditekankan dan dimaksudkan dengan semua etika perjalanan ini adalah rasa hormat. Sekiranya kita saling menghormati, maka kita pasti dapat secara aman dan rukun menikmati keindahan dan kemakmuran bumi kita yang dikongsi bersama ini. Itulah yang terbaik yang boleh kita lakukan sebagai seorang yang berkelana di bumi orang.
Di mana sekalipun kita berada, kita membawa imej dan nama keluarga, agama, bangsa dan negara kita bersama. Jadi, mengembara dan berkelanalah sebagai seorang yang berhemah dan disenangi.