Beberapa wilayah di China merombak dasar cuti kahwin selama tiga hari negara itu sebagai usaha mencari jalan untuk menangani kemerosotan kadar kelahiran yang turut menjejaskan ekonomi.
Berdasarkan artikel Taipei Times, negara itu kini memperkenalkan cuti bergaji selama 30 hari kepada pasangan pengantin baharu.

Perubahan besar-besaran itu dibuat untuk menggalakkan pasangan muda berkahwin dan mempunyai anak.
Kelayakan dan faedah cuti kira-kira sebulan kepada pengantin baharu itu menjadi harapan kepada China untuk menangani kadar kelahiran yang semakin menurun.
Walaupun cuti perkahwinan selama 30 hari diterima beberapa wilayah, namun sebilangan wilayah lain telah menetapkan tempoh selama 10 hari.

Sebagai contoh, di Wilayah Gansu dan Shanxi menawarkan cuti selama 30 hari manakala Shanghai 10 hari. Di Sichuan masih kekal tiga hari, demikian kenyataan Taipei Times.
Dekan Institut Penyelidikan Pembangunan Sosial, Universiti Kewangan dan Ekonomi Barat Daya, Yang Haiyang berkata, melanjutkan cuti perkahwinan adalah satu cara berkesan untuk meningkatkan kadar kesuburan di negara China.
“Cuti perkahwinan dilanjutkan di beberapa wilayah dan bandar yang mengalami perkembangan ekonomi yang agak perlahan,” ujarnya.

Untuk rekod, populasi penduduk China terjejas selepas negara itu menguatkuasakan dasar seorang anak antara tahun 1980 hingga 2015.
Pada 2022, China mencatatkan kadar kelahiran terendah iaitu 6.77 kelahiran bagi setiap 1,000 orang.
Untuk membaca artikel berkaitan, anda boleh klik pautan di bawah: