Elak Gejala Homoseksual Tersebar, Datuk Bandar Depok Arah Polis Serbu Rumah Golongan LGBT

Susulan penahanan pelajar warga Indonesia, Reynhard Sinaga yang didapati bersalah atas 159 serangan seksual ke atas kaum lelaki di Britain, datuk bandar Depok, semalam, mengarahkan polis untuk menyerbu rumah golongan LGBT di negara itu.

Mohammad Idris berkata, tujuan utama perkara itu dilakukan adalah untuk mengelakkan penularan LGBT yang digambarkan sebagai suatu praktis yang sangat berbeza dengan perwatakan manusia normal.

Tidak cukup dengan itu, Idris juga menganggap komuniti lesbian, gay, bisexual dan transgender sebagai mangsa keadaan.

“Satu pusat pemulihan akan dibangunkan bagi membantu komuniti ini supaya menjadi heteroseksual semula,” ujar Idris.

Walau bagaimanapun, usaha berkenaan dibantah keras oleh hak asasi manusia di negara itu kerana berpendapat serbuan ke rumah golongan LGBT hanya akan menambah risiko kelakuan yang menyalahi undang-undang.

Menurut seorang pelajar Indonesia yang mengaku dirinya biseksual, dia merasakan tindakan datuk bandar Depok itu sebagai sesuatu yang menghabiskan wang. Malah, ia juga telah mencabuli hak peribadi masyarakat golongan berkenaan.

Menerusi satu kajian pada tahun 2018, didapati hampir 90 peratus warga Indonesia yang memahami terma LGBT merasakan diri mereka terancam dengan kehadiran golongan itu. Hal ini adalah kerana, hubungan sejenis adalah dilarang dalam agama Islam yang menjadi agama rasmi negara berkenaan.

Selain itu, kajian terbabit turut menunjukkan peningkatan terhadap kes-kes keganasan terhadap golongan LGBT.

Menurut aktivis LGBT, Dede Oetomo, komuniti berkenaan menjadi histeria usai kes Reynhard Sinaga tersebar ke seluruh dunia.

Terdahulu, pelajar falsafah kedoktoran, Reynhard Sinaga, 36, disifatkan polis Britain sebagai penjenayah paling keji dalam sejarah negara itu. Reynhard menyerang lelaki-lelaki heteroseksual dengan memberikan mereka minuman yang sudah dicampurkan dengan dadah sebelum memperkosa mereka.

Tertuduh kini sedang meringkuk di dalam penjara selepas dia disabitkan kesalahan atas 159 serangan termasuk 136 jenayah rogol, lapan cubaan memperkosa dan 15 serangan seksual terhadap 48 orang mangsa.

Ibu suspek yang dikenali sebagai Normawati Depok berkata, dia masih mengalami kesukaran untuk menerima kenyataan mengenai anak lelakinya itu.

“Kami adalah keluarga Kristian yang baik dan tidak percayakan homoseksualiti,” katanya ketika ditemui minggu lalu.

Kes Reynhard Sinaga itu mendapat liputan meluas media di Indonesia sekali gus menyebabkan golongan LGBT di negara berkenaan berasa terancam.

Untuk membaca artikel lain berkaitan jenayah kejam, sila klik pada pautan di bawah:

Sumber:

Artikel Lain Untuk Di Baca