Elak Beli Air Zam Zam Di Pasaran Tempatan, Ini Penjelasan KKM

Kementerian Kesihatan (KKM) menasihati orang ramai supaya tidak membeli air yang dilabel sebagai air zam zam di pasaran tempatan kerana dikhuatiri tiruan.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata air zam zam dikategorikan sebagai air mineral semula jadi dan termaktub di bawah Peraturan 360A, Peraturan-Peraturan Makanan 1985.

“Pengimportan air mineral semula jadi memerlukan lesen punca air KKM setelah mendapat pengesahan pihak berkuasa geologi dan hidrologi dari negara pengeksport.

“Dalam hal ini, kerajaan Arab Saudi tidak mengeluarkan pengesahan berkenaan kerana air zam zam tidak boleh diperdagangkan.

“Justeru, tiada pengedar atau syarikat yang telah mendapat lesen bagi pengimportan dan penjualan air zam zam,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Beliau berkata pihaknya melalui Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan sentiasa menjalankan penguatkuasaan terhadap air minuman berbungkus dan air mineral semula jadi yang tidak berlesen.

“Sejak 2012 sehingga kini, sejumlah air zam zam bernilai RM77,358.30 telah dirampas melalui hasil penguatkuasa yang telah dijalankan,” katanya.

Dr Noor Hisham berkata, mereka disabitkan atas kesalahan menjual air minuman berbungkus dan air mineral semula jadi yang tidak berlesen boleh dikenakan denda tidak melebihi RM 10,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun di bawah Peraturan-Peraturan Makanan 1985.

Orang ramai juga diseru membantu menyalurkan sebarang maklumat penjualan air yang dilabelkan air zam zam di pasaran kepada pejabat kesihatan daerah atau jabatan kesihatan negeri yang terdekat.

Untuk baca artikel yang berkaitan kementerian kesihatan, sila baca pautan di bawah:

Sumber:

Artikel Lain Untuk Di Baca