Dulu Bertumbuk Sampai ‘Bocor’ Kepala Di Plaza Tol, Dua Lelaki Ini Kini Menjadi Kawan

“Kenangan 20 September 2019 menjadi memori dan kesedaran kepada kami terutamanya aku. Allah temukan aku dengan saudara Ng Whye Hong untuk memberi pengajaran kepada aku.”

Demikian coretan lelaki yang dikenali sebagai Mohamad Fazrien Mohd Ziear di laman Facebooknya berhubung keakraban yang tidak disangka-sangka tercetus antaranya dengan Ng Whye Hong selepas mereka dihukum penjara selama sehari dan denda RM1,000 akibat bertumbuk di Plaza Tol Bukit Kiara pada 17 September lalu.

Hukuman tersebut dijatuhkan oleh Majistret Noorasyikin Sahat pada Jumaat lepas setelah mereka mengaku bersalah mengikut Seksyen 160 Kanun Keseksaan.

Menurut Mohamad Fazrien, penyesalan mula terasa ketika dia dan Ng berada di dalam lokap Mahkamah Majistret Kuala Lumpur bersama dengan hampir 50 banduan lain.

“Melihat suasana dan keadaan mereka (banduan) secara langsung menimbulkan keinsafan dalam diri. Saya berada di dalam lokap itu hampir tujuh jam.”

“Bayangkan cara percakapan, tingkah laku dan kebersihan diri banduan lain menakutkan saya dengan Ng. Dari situlah kami mula berborak dan masing-masing menyesal dengan sikap, emosi serta ego semasa kejadian,” katanya seperti yang dilaporkan Harian Metro.

Tambahnya lagi, hukuman tersebut amat memberi keinsafan buat dirinya dan dia tidak akan mengulangi perkara sama atau apa-apa yang melanggar undang-undang negara selapas ini.

“Walaupun sekejap berada dalam tahanan, saya rasa seperti hilang segala nikmat. Kehidupan berubah 180 darjah.”

“Ng turut beritahu saya, jika situasi sama berlaku padanya dia tidak akan turun melawan, sebaliknya menyerahkan kepada pihak berkuasa untuk ambil tindakan,” katanya.

Nasihat Mohamad Fazrien, pengguna jalan raya wajib mematuhi undang-undang dan jangan sesekali membiarkan perasaan ego menguasai diri kerana lambat-laun, ia akan memakan diri sendiri.

“Sentiasalah ingat orang tersayang dan bertimbang rasa serta bertolak ansur ketika di jalan raya.”

“Undang-undang dicipta bukan untuk menghukum, namun tujuan utamanya untuk mendidik dan itu yang berlaku terhadap saya,” katanya.

Menurutnya, soal siapa salah dan siapa menang dalam insiden itu biarlah menjadi kenangan.

Terdahulu, rakaman video berdurasi seminit setengah yang memaparkan pergaduhan mereka telah tular di media sosial dan menerima pelbagai kecaman daripada warganet.

Artikel Lain Untuk Di Baca