Duit PTPTN Masih Belum Cukup? Ini 5 Tips Untuk Pelajar Berjimat Cermat

Pelajar universiti sering kali terbeban dengan kos sara hidup yang tinggi terutamanya bagi mereka yang tinggal di sekitar ibu kota. Meskipun mereka kebanyakannya membuat pinjaman pelajaran melalui Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Negara (PTPTN), ia tetap tidak mencukupi.

Pastinya sudah tiada jalan lain sebagai seorang pelajar melainkan mengamalkan kehidupan yang berjimat cermat.

Maka, penulis akan kongsikan kepada pembaca berkaitan lima tips untuk pelajar universiti berjimat cermat:

1. Kad pelajar

Penting untuk setiap pelajar memanfaatkan kad pelajar dengan sebaik mungkin kerana hanya mereka yang bergelar pelajar sahaja berhak menggunakannya.

Hal ini kerana, penggunaan kad pelajar akan membantu anda untuk memperoleh potongan harga contohnya pembelian tiket wayang dan mana-mana cawangan restoran yang menawarkan keistimewaan tersebut kepada pelajar. Oleh itu, bawalah kad pelajar ke mana sahaja anda pergi.

2. Kolej

Sebagai pelajar, ambillah peluang sebaiknya untuk menetap di kolej sepanjang pengajian. Dengan cara ini, perbelanjaan atau kos sara hidup di universiti dapat dikurangkan.

Jadi, anda tidak perlulah bersusah payah untuk membayar bil elektrik, air dan sebagainya. Selain itu, keselamatan anda juga akan terjamin apabila tinggal di kolej.

3. Masak

Bagi yang tinggal di rumah sewa, memasak adalah cara yang paling efektif untuk berjimat cermat. Antara makanan yang ringkas dan menjimatkan adalah seperti sardin, telur dan ikan bilis.

Bukan itu sahaja, anda juga boleh berkongsi duit bersama rakan serumah bagi membeli barangan mentah untuk menjimatkan kos perbelanjaan.

4. Bajet makan

Ini adalah tips untuk sesiapa yang konsisten dan nekad untuk berjimat. Anda hanya perlu mengeluarkan RM5 sahaja untuk berbelanja setiap hari.

Terdapat kafeteria di universiti yang menyediakan set hidangan ekonomi atau lebih dikenali sebagai nasi bujang. Maka, bijaksanalah dalam berbelanja dan menguruskan kewangan anda.

5. Pengangkutan awam

Kemudahan pengangkutan seperti bas percuma dan bas Rapid banyak disediakan demi melancarkan urusan harian para pelajar. Dengan tambang serendah RM1, anda sudah mampu keluar berjalan bersama rakan-rakan ke pasaraya terdekat.

Jika anda mahu menggunakan perkhidmatan Grab atau Mycar, berkongsilah dengan rakan-rakan kerana cara itu lebih menjimatkan.

Meskipun kini kita hidup dalam gelombang pemodenan dan kos sara hidup yang semakin meningkat, masih terdapat beberapa cara yang boleh diamalkan sebagai langkah berjimat cermat.

Penulis

  • Ros Syafiqah Binti Hasnan adalah pelajar Fakulti Filem, Teater dan Animasi.
  • Dr. Mohd Syuhaidi Abu Bakar adalah Timbalan Dekan Penyelidikan dan Jalinan Industri, Fakulti Filem, Teater dan Animasi.

Untuk membaca artikel yang berkaitan dengan isu semasa atau berita tular tentang penggunaan wang, sila klik pada pautan di bawah:

Artikel Lain Untuk Di Baca