Duit Kopi Dan Rokok Semua Isteri Tanggung, Suami Sanggup Curi Duit Dalam Tabung Anak

Tidak semua kisah hidup seorang wanita itu indah seperti drama Melayu atau cerita-cerita stereotaip tulisan novelis terkenal tanah air di dalam karya-karya seni mereka.

Kisah stereotaip idaman setiap wanita itu terbukti hanya dongengan semata apabila seorang pengguna Facebook dengan nama Mohd Fadli Salleh telah berkongsikan sebuah cerita benar yang berkisarkan tentang sakit perih seorang isteri terpaksa membela ‘biawak hidup’.

Susah bertambah susah dengan suami ‘biawak hidup’

Ralat hati si ibu, apabila ketiga-tiga orang anaknya mengadu tabung simpanan mereka telah ditemui pecah di dalam tong sampah bersama isinya yang sudah lesap dibawa pencuri.

Bertambah sakit hatinya apabila pencuri itu ialah ayah mereka sendiri.

Bil api dan air sudah sudah tertunggak lebih RM1,000. Si suami berjanji mahu tolong bayarkan bil-bil utiliti tersebut. Namun, ketika dia ingin membasuh beras, air tidak keluar dari paip. Rupanya bil air dan bil api sudah dipotong. Janji suami hanya tinggal janji.

Hidup semakin bertambah sesak apabila segala tanggungan semakin mendesak supaya dilunaskan. Bank sudah menelefon tentang ansuran kereta yang sudah 3 bulan tertunggak, guru Tadika Kemas anaknya sudah meminta bayaran yuran yang sedia tertunggak, beras dan barangan di dalam peti sejuk sudah pun kosong. Bertambah makin berat terasa beban dipikul apabila susu anak bongsunya turut sama habis.
Tahu apa yang masih ada di dalam rumahnya itu?

Suaminya yang berbulan-bulan tidak bekerja, hampir setahun jika dikira tidak mempunyai sebarang pekerjaan.

Tidak tahu bersyukur, berani pula angkat tangan

Bukannya si isteri tidak mahu menolong si suami. Habis dikerah tenaga wanita itu hanya untuk mencarikan kerja buat suaminya. Daripada isi borang pekerjaan sehinggalah mengheret suaminya sampai ke depan pintu temu duga. Apabila sudah dapat kerja, buat onar pula. Hampir setiap masa bergaduh dengan rakan sekerja.

Tidak cukup dengan itu, suaminya itu sanggup menduakannya juga. Isteri mana yang tahan sabar dengan perangai suami begini. Pergaduhan pun mulalah tercetus. Seperti tidak kenang budi, si suami tega pula naik kaki dan tangan ke badan isteri bila bahasa kasar sudah menjadi kebiasaan yang sentiasa meniti di bibir si suami.

Tragedi begitu berlaku berulang-ulang tanpa henti. Tidakkah si suami sedar bahawa isterinya itu tidaklah sekuat mana dan juga tidaklah bergaji terlalu besar apabila semua kos sara hidupnya, isterinya yang tanggung termasuklah duit rokok, minyak motor dan duit kedai kopi.

Tidak tahan sampai ingin menetap selamanya dalam penjara

Menurut Mohd Fadli, wanita malang yang merupakan isteri kepada suami ‘biawak hidup’ itu sanggup datang dari jauh semata-mata ingin bertemu dirinya.

Hanya demi sekampit beras dan barang basah agar dapur rumahnya kembali berasap. Dapat dia lihat tekanan yang menghebat di wajah wanita berkenaan.

Sampai satu tahap, apabila wanita terbabit menerima surat saman daripada Coway. Akibat tidak mampu membayar secara ansuran, dia berasa lebih baik dia merengkok saja di dalam penjara.

Biar dia lega dan bebas daripada semua tanggungan dan masalah. Sampai ke tahap itu dia terfikir. Namun, terpandang sahaja mata anak-anak, terus lembut hati wanitanya. Dia masih ada tanggungjawab. Dia masih seorang ibu.

Tambah Mohd Fadhli menerusi postingannya itu, dia bagaimanapun tidak menggalakkan penceraian. Namun, kadang-kadang melepaskan itu lebih membahagiakan. Bertahan dengan harapan yang pasangan akan berubah merupakan angan-angan yang tidak mungkin kesampaian.

Dan, perpisahan itu mungkin jalan baru untuk dia mengecapi kebahagian.

Di akhir posting lelaki itu, sempat dia menyampaikan pesanan kepada wanita-wanita di luar sana bahawa nasihatnya itu bukan tertuju kepada wanita yang diceritakan dalam statusnya itu sahaja dan tidaklah terpakai terhadap semua orang.

Namun, secara umumnya, begitulah.

Sumber:

Artikel Lain Untuk Di Baca