Duet Lagu Anta Permana Di AJL34, Ini Respons Siti Nurhaliza

Kemunculan mengejut penyanyi tersohor, Dato’ Sri Siti Nurhaliza di Anugerah Juara Lagu (AJL) ke-34 pada Ahad lalu telah mengundang pelbagai reaksi positif daripada warganet.

Mana tidaknya, kali terakhir beliau beraksi di pentas AJL adalah pada 12 tahun lalu.

Beliau membuat keputusan untuk tidak lagi bertanding selepas itu bagi memberi peluang kepada penyanyi lain untuk berentap.

Pada acara anugerah tersebut, Siti mendendangkan lagu Anta Permana bersama Bob Yusof namun mengalami masalah teknikal dengan mikrofonnya ketika mula menyanyi.

Walaupun begitu, beliau tidak menjadikan itu sebagai satu halangan sebaliknya meneruskan persembahan berkenaan untuk memastikan kemunculannya meninggalkan impak.

Rata-rata warganet mempunyai perasaan ingin tahu tentang apa yang telah mendorong Siti untuk membuat penampilan khas pada acara anugerah tersebut.

Sebagai respons, Siti memberi penjelasan menerusi laman YouTube di mana beliau akhirnya membuat keputusan tersebut selepas mengambil kira pelbagai perkara.

Jelasnya, “Komposer lagu Anta Permana iaitu Hael Husaini dan Ezra Kong, Bob, peminat serta teman media antara mereka yang mahukan saya muncul di pentas AJL34.”

Penyanyi itu berkata bahawa perkara ini sama sekali tidak dirancang dan berlaku sekelip mata.

Tambahnya, “Berat sebenarnya dalam hati untuk kembali membuat persembahan di AJL. Apatah lagi, saya sudah memberi kepercayaan kepada Bob dan yakin dengan bakat dimilikinya.”

“Namun, atas sokongan sebagai sahabat dan ditambah pula lagu ini cukup istimewa dicipta khusus Hael dan Ezra, jadi saya bersetuju memeriahkan persembahan,” katanya.

Dalam pada itu, Siti berkata bahawa penampilannya pada malam itu hanyalah untuk memberi sokongan kepada Bob dan pencipta lagu, Hael Husaini serta Ezra Kong.

“Saya hanya mengikut dan menyanyi ikut ‘key’ Bob sekali gus bertindak sebagai suara kedua untuk lebih harmoni. Pada malam itu, saya hanya mahu enjoy,” katanya yang kali terakhir bertanding dengan mempertaruhkan lagu Destinasi Cinta.

Meskipun mengalami masalah teknikal di awal persembahan, Anta Permana meraih tempat ketiga dan menerima trofi serta wang tunai RM20,000.

Anda boleh tonton video penuh di bawah:

Untuk membaca lebih banyak artikel mengenai AJL34, anda boleh klik pautan di bawah:

Artikel Lain Untuk Di Baca