Duduk Atas Bantal Boleh Kena Bisul, Ini 7 Pantang Larang Orang Tua Yang Pelik Tapi Masuk Akal

Masyarakat Melayu sering mengimplementasikan adat dan budaya dalam kehidupan seharian. Dalam hal ini, salah satu cara yang diguna pakai untuk memberi nasihat adalah penggunaan pantang larang. Berikut adalah beberapa pantang larang yang sering disebut oleh mereka yang mungkin kedengaran pelik tetapi masuk akal.

1. Jangan potong kuku pada waktu malam nanti umur pendek

Semasa pulang ke kampung untuk menziarah datuk serta nenek, pasti akan ada satu masa di mana mereka menegur supaya tidak memotong kuku pada waktu malam kerana dikhuatiri akan cepat meninggal dunia. Pantang larang ini mungkin kedengaran merapu kerana ajal dan maut sudah ditetapkan sendiri oleh Tuhan tetapi ia mempunyai logiknya yang tersendiri.

Kebanyakan masyarakat dahulu yang hidup di kampung tidak mempunyai lampu dan hanya menggunakan lilin untuk mendapatkan cahaya pada waktu malam. Oleh itu, mereka tidak digalakkan memotong kuku pada waktu malam untuk mengelakkan kecederaan pada jari.

2. Anak dara jangan menyanyi di dapur nanti akan berkahwin dengan lelaki tua

Sesetengah anak gadis tanpa sedar suka menyanyi dan berangan di dapur ketika memasak. Pantang larang yang mengatakan bahawa mereka akan berkahwin dengan orang tua jika menyanyi sebenarnya adalah untuk mengelakkan daripada kecuaian berlaku dan masakan menjadi hangus. Bayangkan sekiranya ketika mereka menyanyi sambil memotong bawang atau sayur-sayuran, kecuaian atau kecederaan seperti terpotong jari sendiri mungkin akan terjadi.

3. Jangan duduk di atas bantal nanti terkena bisul

Orang Melayu begitu hormat akan sesuatu yang melibatkan anggota kepala seperti tidak boleh melangkah kepala, jangan duduk beralaskan bantal yang digunakan untuk kepala dan jangan mengetuk kepala menggunakan tangan.

Pantang larang jangan duduk di atas bantal kerana nanti akan terkena bisul ini adalah untuk menghormati anggota kepala dan tiada kaitan langsung dengan bisul. Menurut Kementerian Kesihatan Malaysia, bisul sering terjadi disebabkan bakteria pada rambut folikel di sekeliling kulit yang pada mulanya muncul sebagai jerawat dan mereka yang berisiko mendapat bisul adalah kerana kurang menjaga kebersihan diri.

4. Jangan banyak berubah tempat makan nanti akan berkahwin ramai

Mungkin sesetengah kaum lelaki akan suka mendengar pantang larang ini tetapi hakikatnya, ia lebih berkait dengan kebersihan daripada perkahwinan. Bagi mengelakkan mangkuk yang berisi kuah terjatuh atau cawan yang berisi air tertumpah ke lantai, para ibu kebiasaannya menggunakan pantang larang ini kepada anak mereka supaya tidak berubah tempat makan.

5. Jangan meniarap sambil menaikkan kaki ke atas takut ayah dan ibu meninggal dunia

Semasa sedang menonton televisyen, sesetengah individu gemar berbaring secara meniarap. Perbuatan menaikkan kaki ke atas ketika meniarap ini membawa maksud ibu bapa akan meninggal dunia bagi orang-orang tua.

Walhal secara hakikatnya, pantang larang ini terjadi kerana orang dahulu kala khususnya anak gadis lebih gemar memakai kain batik dan lelaki suka memakai kain sarung. Jika mereka meniarap sambil melipatkan kaki ke atas, pasti kain yang mereka pakai itu akan menampakkan separuh daripada anggota kaki yang dianggap tidak sopan. Orang-orang tua menggunakan pantang larang ini bagi mengelakkan perkara yang tidak diingini dan memalukan daripada berlaku.

6. Ibu mengandung tidak dibenarkan melalui bawah ampaian kerana anak yang dilahirkan bakal menjadi gagap

Secara logiknya, pantang larang ini mungkin kedengaran sangat tidak masuk akal kerana kelahiran bayi gagap adalah ketentuan Yang Maha Esa. Pantang larang yang direka ini sebenarnya adalah atas dasar keselamatan kepada ibu yang mengandung. Sebelum wujudnya mesin basuh, baju yang dicuci menggunakan tangan akan disidai di ampaian dan jemuran itu akan menghasilkan air yang mengalir menyebabkan jalan licin. Pantang larang ini adalah untuk mengelakkan ibu mengandung daripada tergelincir dan mengalami keguguran.

7. Jangan biar pinggan kering selepas makan kerana rezeki akan lewat masuk

Pantang larang ini wujud kerana majoriti manusia akan berbual-bual semasa sedang makan. Walaupun makanan di pinggan sudah habis, perbualan tetap rancak berlaku. Malah, ada sesetengah yang terus bermain telefon bimbit.

Pantang larang yang disebut-sebut oleh orang dahulu ini sebenarnya mempunyai maksud yang tersirat di mana mereka tidak mahu pembuangan masa berlaku selepas makan dan harus segera bersiap untuk mencari rezeki. Di samping itu, pinggan yang kering juga akan melambatkan proses untuk kita mencucinya.

Jadi, itulah antara pantang larang yang sering didengari oleh masyarakat Melayu. Walaupun pantang-larang ini kedengaran pelik, tetapi ia merupakan pengajaran buat anak muda.

Penulis
• Nadia Noramira Binti Zulkifli adalah pelajar Fakulti Filem, Teater dan Animasi.
• Dr. Mohd Syuhaidi Abu Bakar adalah Timbalan Dekan Penyelidikan dan Jalinan Industri, Fakulti Filem, Teater dan Animasi.

Artikel Lain Untuk Di Baca