Seorang remaja daripada dua sekawan yang tidur di atas landasan kereta api telah maut digilis dan diseret kereta api sejauh 30 meter dalam kejadian di Kampung Tiong pada awal pagi Isnin.
Mangsa yang berumur 18 tahun itu dikenali sebagai Mohammad Azwan Md Yusoff meninggal di tempat kejadian pada pukul 5.30 pagi.

Menurut Superintendan SIk Choon Foo, Ketua Polis Daerah Gua Musang, sebelum kejadian ngeri itu berlaku mangsa bersama seorang lagi rakannya dipercayai tidur di atas jambatan landasan kereta api tersebut.
“Pemandu kereta api yang dalam perjalanan dari Kuala Lipis ke Tumpat itu ternampak lelaki tidur di atas landasan dan membunyikan hon.
“Mangsa tidak sempat bangun bagaimanapun rakannya tersedar dan lari menyelamatkan diri,” kata beliau kepada sidang akhbar pada Selasa.
Selepas kejadian tersebut, pemandu kereta api kemudiannya melaporkan hal tersebut kepada Keretapi Tanah Melayu berhad (KTMB) dan polis untuk tindakan lanjut.
“Hasil siasatan polis di tempat kejadian mendapati mayat mangsa dijumpai sejauh 30 meter dari lokasi dia dan rakannya tidur.
“Mayat mangsa dibawa ke Hospital Gua Musang untuk bedah siasat dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” katanya.
Untuk baca artikel-artikel yang berkaitan, anda boleh klik pada pautan di bawah: