Dua Kes Baharu Dikesan Di Sabah, Jumlah Pesakit Polio Malaysia Meningkat Kepada 3 Orang

Pada awal Disember tahun lalu, negara Malaysia dikejutkan dengan berita seorang bayi lelaki warganegara Malaysia yang berusia tiga bulan dijangkiti virus Polio di Sabah sekali gus menjadikannya sebagai kes jangkitan pertama di negara ini selepas hampir tiga dekad Malaysia disahkan bebas Polio.

Pada 9 Januari 2020, Kementerian Kesihatan Malaysia (KMM) telah mengesahkan terdapat dua lagi kes kanak-kanak lelaki di dua daerah berbeza di Sabah telah dijangkiti virus Polio.

Berikut merupakan profil kedua-dua pesakit terbabit.

1. Kinabatangan, Sabah

Seorang kanak-kanak lelaki berusia 11 tahun dan bertaraf warganegara Malaysia disahkan menghidap Polio selepas dia dimasukkan ke hospital. Anak kecil berkenaan dilaporkan tidak pernah menerima sebarang imunisasi sebelum akhirnya mengalami demam pada 17 November 2019.

Beliau dimasukkan ke hospital pada awal Disember tahun lalu selepas mengadu sakit belakang dan tidak boleh berjalan. Pesakit dilaporkan kini berjalan menggunakan tongkat.

2. Sandakan, Sabah

Kanak-kanak lelaki berusia lapan tahun ini tidak pernah menerima sebarang imunisasi sepanjang hayatnya.

Tidak mempunyai kerakyatan Malaysia, pesakit dimasukkan ke hospital pada 9 Disember lalu selepas demam panas sebelum akhirnya hilang keupayaan berjalan tiga hari kemudian.

Beliau kini menggunakan bantuan pernafasan dan masih dirawat di hospital.

Dengan pengesahan terbaharu ini, jumlah pesakit Polio di Malaysia menunjukkan peningkatan kepada tiga orang. Kesemua kanak-kanak yang dijangkiti kini dirawat di hospital dan berada dalam keadaan stabil.

Menerusi ujian makmal yang telah dihantar ke World Health Organization Polio Regional Reference Laboratory (WHO Polio RRL) di Melbourne, Australia mendapati virus Polio yang menjangkiti ketiga-tiga pesakit ini mempunyai perkaitan genetik dengan kes polio di Filipina.

Siasatan terperinci sudah dijalankan bagi mengenal pasti punca jangkitan bagi kedua-dua kes baharu ini.

Sehingga kini, seramai 705 penduduk di kawasan tempat tinggal kedua-dua pesakit sudah diperiksa dan laporan mengatakan tiada sebarang kes Polio lain yang dilaporkan.

Walau bagaimanapun, terdapat sejumlah 65 orang kanak-kanak yang didapati cicir imunisasi Polio tinggal di kawasan tempat tinggal dua kes berkenaan. Suntukan vaksin dilaporkan sudah diberikan bagi mengelak kewujudan baharu jangkitan virus Polio.

Aktiviti kawalan wabak Polio kini sedang giat dijalankan di serata negeri Sabah. Kempen Imunisasi Polio Sabah yang sudah dimulakan pada 27 Disember lalu menyasarkan semua kanak-kanak yang berusia bawah lima tahun.

Susulan daripada Mesyuarat Penyelarasan Wabak Polio di Sabah yang berlaku pada 31 Disember lalu, sebuah Jawantankuasa Kerja Peringkat Pusat dan Jawatankuasa Kerja Peringkat Negeri telah dibentuk Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan KKM bagi menangani masalah penularan wabak Polio.

Mesyuarat itu juga membawa kepada persetujuan agar kerjasama rentas sempadan seperti dengan Kementerian Kesihatan negara Filipina dan kolaborasi dengan pihak Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) terus diperkukuhkan bagi memastikan liputan imunisasi kepada kanak-kanak Filipina yang berada di Sabah dapat dipertingkatkan.

Tidak cukup dengan itu, advokasi kepada masyarakat termasuk ibu bapa turut dipertingkatkan agar mereka lebih peka terhadap kepentingan imunisasi.

Untuk membaca artikel lain berkaitan wabak Polio, sila klik pada pautan di bawah:

Sumber:

Artikel Lain Untuk Di Baca