Drama Band Kemalangan, Ini Komen Mengejutkan Daripada Haqiem Rusli

Kumpulan Drama Band yang baru-baru ini terlibat dalam kemalangan jalan raya, turut mendapat perhatian daripada komposer dan penyanyi muda, Haqiem Rusli.

Tindakannya yang meninggalkan komen di Instagram milik vokalis Drama Band, iaitu Aepul Roza mendapat pujian daripada warganet kerana disifatkan sebagai sesuatu yang bersifat kemanusiaan pada saat rakan artis ditimpa musibah.

Komen berbunyi ‘semoga semua dalam keadaan selamat’ berserta emoji ‘love’ yang ditulis Haqiem dibalas Aepul dengan cukup positif.

Siapa sangka komen sebegitu telah diberikan oleh penyanyi lagu Bangkit yang pernah disindir kumpulan berkenaan menerusi persembahan lagu Drama ketika Anugerah Juara Lagu (AJL) Ke-34, Februari lalu.

Persembahan mereka mencetuskan kontroversi apabila didakwa menyindir beberapa individu termasuklah Haqiem sendiri.

Menurutnya, dia tidak pernah mengambil hati terhadap insiden yang telah berlaku. Dia mengaku pada mulanya dia terasa sehingga fokusnya terganggu ketika sedang menunggu giliran untuk membuat persembahan lagu Lembah Kesepian ketika AJL34.

“Sebagai manusia biasa, andai ada sesiapa ditimpa musibah, pasti kita berharap hal itu akan dipermudahkan. Sesiapa yang berada pada tempat saya pasti akan menulis komen tanda simpati atau ambil berat atas ujian yang dihadapi orang lain,” kata penyanyi yang melonjak populariti menerusi lagu Tergantung Sepi itu.

Dalam pada itu, Pemenang dua trofi, Artis Sensasi Popular dan Lagu Paling Boom, Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) Ke-32 menerusi kategori online itu berkata, banyak undangan persembahan yang membabitkannya dibatalkan, selain ditunda ke tarikh lain berikutan penularan wabak COVID-19.

“Saya reda dan semoga kita terus dilindungi daripada perkara yang tak elok. Saya anggap bukan rezeki. Tak mengapa, kita kena percaya rezeki Allah tak pernah salah alamat,” katanya.

Untuk membaca artikel lain berkaitan Drama Band, sila klik pada pautan di bawah:

Artikel Lain Untuk Di Baca