Dr. Sheikh Muszaphar Kongsi Surat Yang Ditulisnya Sehari Sebelum Berlepas Ke Angkasa Pada Tahun 2007

Baru-baru ini, Dr. Sheikh Muszaphar Shukor berkongsikan sepucuk surat yang pernah ditulis beliau sebelum meninggalkan bumi pada 2007 melalui satu hantaran di akaun Instagram miliknya.

Surat bertarikh 9 Oktober 2007 itu difahamkan ditulis buat kedua-dua ibu bapanya sebelum beliau berlepas ke Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS) bersama roket Soyuz dalam misinya sebelum ini.

“Saya menemui kembali surat yang saya tulis kepada ibu bapa saya pada 2007, sehari sebelum saya berlepas ke angkasa.

“Ketika itu saya berada di Baikonaur Kazakhstan, dikuarantin berseorangan selama dua minggu tanpa orang yang tersayang,” tulis beliau.

Surat bertulis tangan itu mengandungi luahan perasaan beliau kepada kedua ibu-bapanya dan hasrat untuk membuat perubahan yang lebih baik kepada dunia serta bagaimana impiannya untuk ke angkasa menjadi realiti.

Dr. Sheikh Muszaphar yang mula bercita-cita untuk ke angkasa lepas sejak berusia 10 tahun dalam surat berkenaan menjelaskan tiada siapa yang dapat menjangkakan cita-citanya itu akan tercapai sekaligus menjadi angakasawan pertama di Malaysia.

Dalam pada itu, menurut Dr. Sheikh Muszaphar, surat itu ditulis kepada kedua ibu-bapanya kerana beliau terpaksa menjalani kuarantin untuk tujuan kesihatan dirinya.

Walau bagaimanapun, beliau memberitahu bahawa dirinya ada berjumpa dengan kedua-dua ibu bapanya sehari sebelum itu dan sempat berbual melalui penghadang kaca yang telah ditetapkan.

“Itulah kenangan lalu… Saya tidak pernah berkongsikan surat ini dengan sesiapa pun sebelum ini. Malah saya sudah terlupa mengenainya.

“Cuma hari ini saya ingin berkongsikan dengan anda semua bagaimana perjalanan ke angkasa mengubah kehidupan saya secara keseluruhannya,” kongsi beliau.

Bagi yang tidak tahu, pada 10 Oktober 2007, Dr. Sheikh Muszapahar menjadi warga Malaysia yang pertama berlepas ke angkasa bersama dua lagi kru dengan menaiki Soyuz TMA-11.

Selepas 10 hari di Stesen Angkasa Antarabangsa, beliau kemudiannya kembali ke bumi pada 21 Oktober dan kemudiannya diumumkan sebagai angkasawan pertama negara pada tahun sama oleh Perdana Menteri ketika itu Tun Abdullah Ahmad Badawi.

Untuk baca artikel-artikel lain yang berkaitan, anda boleh klik pada pautan di bawah:

Artikel Lain Untuk Di Baca