Dr. Noor Hisham Balas Surat Kiriman Si Cilik Sebagai Tanda Penghargaan

Ketua Pengarah Kesihatan iaitu Datuk Dr. Noor Hisham sememangnya disanjungi oleh rakyat Malaysia pada masa kini di atas usaha beliau menangani situasi pandemik COVID-19 yang sedang melanda Malaysia.

Terbaharu, Dr. Noor Hisham menerima kejutan manis apabila ‘disunting’ menjadi kenalan oleh seorang peminat cilik.

Hasrat itu diluahkan oleh Lara Khadijah McAfee menerusi surat yang dipercayai hasil tulisan dan karangannya sendiri yang disertakan ‘loom band’ atau gelang getah, sebagai simbolik salam perkenalan.

Lara yang berusia 9 tahun memberikan surat dan gelang getah itu kepada Dr. Noor Hisham sebagai tanda terima kasihnya atas segala jasa dan pengorbanan yang dilakukan terhadap rakyat Malaysia untuk terus kekal selamat dan sihat sepanjang penularan wabak COVID-19.

Meskipun sibuk dengan tugas kepada negara, Dr. Noor Hisham jelas tidak menghampakan harapan kanak-kanak itu apabila membalas surat kenalan baharu kanak-kanak tersebut yang menetap di Kampung Batin, Seberang Takir, Kuala Nerus, Terengganu.

Mengaku tersentuh dengan penghargaan yang dizahirkan, beliau berkata gelang getah berwarna biru dan putih itu kini dipakai cucunya.

“Terima kasih atas surat dan gelang yang diutuskan. Cucu saya sekarang yang memakainya dan dia sangat menyukainya.

“Kata-kata anda terlalu baik, tetapi saya tidak melakukannya secara berseorangan. Saya beruntung kerana mempunyai sebuah pasukan yang hebat untuk membantu negara kita. Rakyat Malaysia seperti anda, memainkan peranan yang luar biasa dengan kekal berada di rumah. Teruskan berbuat demikian dan bersama, kita boleh memerangi virus ini,” katanya menerusi surat rasmi Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Tambah beliau lagi, bencana yang menimpa negara ketika ini tidak akan kekal lama dan berharap Lara tidak terlalu bimbang dan dengan kuasa tuhan, pandemik ini akan berakhir dalam masa terdekat.

Dr. Noor Hisham juga berpesan supaya anak kecil ini belajar bersungguh-sungguh supaya satu hari nanti Lara pula yang akan membantu Malaysia.

Apa yang lebih menyentuh hati adalah sebelum menandatangani surat itu, Dr. Noor Hisham menggunakan ayat ‘from your new friend’.

Memetik laporan Harian Metro, ibu kepada Lara Khadijah McAfee berkata, surat yang dihantar pada 19 Mac 2020 itu dibuat bukan untuk mencuri perhatian.

“Syukur inisiatif Lara untuk menulis surat ini mendapat maklum balas begitu positif daripada orang ramai, malah ramai yang mendapat inspirasi dengannya.

“Walaupun niat asal kami hanya untuk berterima kasih kepada Dr Hisham.

“Saya terharu kerana menerima mesej daripada pelbagai masyarakat, ada pakcik Cina dan India melahirkan semangat untuk sama-sama berjuang melawan virus ini.

“Kita sebagai ibu bapa perlu memberi dorongan kepada anak-anak ini kerana walaupun muda, buah fikiran mereka boleh membina sesuatu luar biasa,” katanya yang berharap negara akan bebas Covid-19 tak lama lagi.

Untuk membaca artikel lain berkaitan Datuk Dr. Noor Hisham, anda boleh klik pada pautan di bawah:

Artikel Lain Untuk Di Baca