Dr. Noor Hisham Antara Doktor Terbaik Di Dunia Dalam Menangani COVID-19

Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia iaitu Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah disenaraikan sebagai antara doktor terbaik dunia oleh China Global TV Network (CGTN). Pengiktirafan itu dibuat berdasarkan kewibawaan beliau menangani krisis COVID-19.

Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah

Menurut laporan CGTN, Dr. Noor Hisham adalah antara tiga doktor terulung peringkat global dalam menentang coronavirus, turut tersenarai ialah pakar penyakit berjangkit Amerika Syarikat (AS) iaitu Dr. Anthony Fauci dan Ketua Pengarah Kesihatan New Zealand, Ashley Bloomfield.

Mereka dipuji kerana mempamerkan penampilan yang tenang, jelas dan meyakinkan bagi menyalurkan maklumat serta fakta kepada seluruh rakyat di negara masing-masing mengenai pendemik ini.

Menurut CGTN lagi, mereka bukanlah menteri Kabinet tetapi mereka berjaya muncul sebagai ‘wajah’ negara masing-masing dalam menangani wabak COVID-19. Malah, ada yang menggelar mereka ‘pujaan hati, rock star dan hero negara’ di media sosial.

“Dalam menghadapi pandemik global yang tidak pernah dialami sebelum ini, ketika kerajaan di serata dunia kadang kala lambat bertindak atau memperkenalkan langkah yang mengelirukan serta menghantar mesej bercelaru, Dr. Fauci, Dr. Bloomfield dan Dr. Hisham menjadi suara yang menenangkan dan juga meyakinkan,” jelas CGTN.

Dr. Noor Hisham yang berusia 57 tahun itu telah memegang jawatan Ketua Pengarah Kesihatan sejak 2013 lagi. Beliau dianggap ‘wajah yang memberi keyakinan’ oleh rakyat Malaysia kerana memberikan maklumat terkini mengenai COVID-19 di media sosial, berlandaskan rumusan berdasarkan fakta dan juga statistik.

Beliau juga kerap mengemas kini maklumat kepada umum menerusi media sosial sehingga lewat malam dan melepasi waktu kerja yang rasmi.

CGTN juga berkata, penampilan berprofil rendah dan bersahaja menjadi daya tarikan terhadap Dr. Noor Hisham.

Beliau berkelulusan ijazah Sarjana dalam Surgeri dan Sarjana Muda Perubatan daripada Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan menyertai sektor awam sebagai pegawai perubatan pada Ogos 1988.

Dr. Noor Hisham kemudian memilih bidang kepakaran dalam surgeri endokrin dan menjalani latihan di pelbagai universiti termasuk di Adelaide dan Sydney, Australia. Beliau juga menerbitkan artikel dalam jurnal antarabangsa dan tempatan serta menulis kandungan buku teks berhubung surgeri endokrin.

Dr. Anthony Fauci

Dr. Fauci, 79, pula dilaporkan bekerja hampir 16 hingga 18 jam sehari sejak beberapa minggu lalu sehingga orang ramai mula bimbang apabila beliau tidak kelihatan ketika sidang media harian di Rumah Putih.

Dr. Fauci diberi gelaran ‘coronavirus crush’ dan ‘national treasure’ oleh The Atlantic and The New York Times, dengan hampir 15,000 orang menandatangani petisyen Change.org untuk dicalonkan sebagai People Magazine’s Sexiest Man Alive 2020.

Ashley Bloomfield

Bloomfield juga menerima pujian kerana ketelitian dan maklum balas yang jelas ketika bercakap kepada media. Ramai penduduk New Zealand mencalonkan beliau bagi anugerah ‘Tokoh Negara’.

Mereka umpama hero yang menyelamatkan rakyat di negara masing-masing. Mereka tidak kenal erti lelah selagi tugas yang diamanahkan kepada mereka belum diselesaikan. Jadi, diharapkan wajah-wajah ini dan juga semua barisan hadapan di seluruh dunia terus kuat dan mampu untuk menghadapi saat getir ini dan sekali gus masalah global ini dapat di atasi dengan segera.

Untuk baca artikel lain tentang Datuk Dr. Noor Hisham, anda boleh klik pada pautan di bawah:

Sumber:

Artikel Lain Untuk Di Baca