Dr. Maszlee Malik Arah ITBM Tangguh Buang 24 Orang Kakitangan

Institut Terjemahan dan Buku Malaysia (ITBM) telah menangguhkan tindakan pengecilan operasi yang melibatkan penamatan khidmat 24 orang kakitangannya.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan ITBM pada Isnin, penangguhan berkenaan dibuat selepas menerima arahan daripada Menteri Pendidikan Dr. Maszlee Malik menerusi surat bertarikh 4 Disember lepas di mana ia bertujuan untuk memberikan laluan kepada kementeriannya melaksanakan perancangan pemulihan ITBM bagi mengekalkan kelangsungan organisasi tersebut.

“Ini sesuai dengan keputusan mesyuarat Jemaah Menteri untuk menyediakan peruntukan khas kepada ITBM melalui projek penerbitan buku teks yang dibuat secara rundingan terus,” kata kenyataan itu.

Memetik laporan Astro Awani, KPM dikatakan turut mengenal pasti perancangan jangka pendek serta jangka panjang pemulihan operasi dan kedudukan kewangan ITBM.

“Antara langkah segera yang diambil adalah dengan penyaluran peruntukan sebanyak RM2 juta melalui pembelian buku sebagai bahan bacaan tambahan untuk edaran ke sekolah.”

“Kementerian Pendidikan dan Kementerian Kewangan akan menyalurkan peruntukan dana berjumlah RM5 juta kepada ITBM dalam tempoh terdekat ini,” menurut kenyataan itu.

Sementara itu, menurut Pengurus Besar merangkap Pemangku Pengarah Urusan ITBM iaitu Sakri Abdullah, bagi mengekalkan kelangsungan ITBM dan peranan sedia ada, Menteri Pendidikan telah mengarahkan ahli lembaga pengarah bersama-sama pengurusan untuk berbincang serta membentangkan perancangan jangka panjang pemulihan organisasi itu.

Tambah Sakri lagi, selari dengan revolusi industri 4.0 (IR 4.0), ITBM turut diminta untuk mencari kaedah, medium lebih kreatif, interaktif serta terkini menggunakan konsep digital seperti augmented reality (AR) dan e-book.

“Cadangan dan saranan bagi pemulihan serta mengekalkan peranan ITBM ini merupakan satu daripada usaha kerajaan untuk kekal memberi perhatian terhadap pembangunan serta perkembangan industri perbukuan negara, selari dengan pengiktirafan Kuala Lumpur sebagai Ibu Kota Dunia 2020,” katanya.

Sumber:

Artikel Lain Untuk Di Baca