“Don’t Stop Writing”, Surat Terakhir Anak Jadi Sumber Kekuatan Lelaki Ini Teruskan Kerjaya Sebagai Penulis

Sekitar bulan Jun lalu, penulis novel Langit Nan Gelap terbitan Lejen Press, Resmanshah telah kehilangan dua orang anak perempuannya dalam sekelip mata sahaja selepas mereka sekeluarga terlibat dalam satu nahas jalan raya di Kilometer 56 Jalan Kalabakan-Sapulut dekat Tawau, Sabah.

Menurut laporan media, kereta yang dinaiki lima beranak itu tiba-tiba hilang kawalan sebelum terbabas ke dalam gaung. Akibatnya, Nur Halisa Sufiyya, 7 tahun dan Nur Syaakur Safiyyah, 5 tahun yang ketika itu duduk di kerusi belakang tercampak keluar dari kenderaan dan meninggal dunia di tempat kejadian.

Memandangkan ketika itu kereta tersebut dipandu oleh isteri kepada Resmanshah, terdapat segelintir pihak yang bertindak menuding jari terhadapnya dan mengatakan dia adalah punca kemalangan itu berlaku. Tuduhan tidak berasas seperti wanita itu tertidur ketika sedang memandu dan tidak memakai tali pinggang keledar dilemparkan warganet tanpa sebarang rasa bersalah.

Sejak kehilangan kedua-dua permata hati mereka, kehidupan Resmanshah dan isteri tidak sama lagi atau dalam erti kata lain, terus berubah 180 darjah. Rindu yang tidak terhingga dan sakitnya kehilangan, hanya mereka sahaja yang mengerti.

Meskipun mulut manusia tidak henti-henti bercakap mengenai isterinya adalah punca kedua-dua anak kecil itu maut, Resmanshah tidak pernah mengeluarkan apa-apa kenyataan kerana padanya, tiada apa yang dapat mengubah kenyataan bahawa puterinya sudah tiada.

Kira-kira lima bulan selepas episod tragis itu, Resmanshah akhirnya tampil membuka mulut tentang detik-detik hitam itu buat pertama kalinya. Ternyata, dakwaan yang dilemparkan warganet dan media kepada isterinya adalah tidak benar sama sekali.

Tidak cukup dengan itu, Resmanshah turut diuji apabila penglihatannya semakin kabur di mana pada siang hari, dia tidak berkeupayaan untuk melihat seperti biasa. Apa yang dia nampak hanyalah cahaya putih yang memenuhi segenap ruang mata. Penglihatannya cuma akan kembali normal pada waktu malam sahaja. Doktor sendiri tidak dapat mengenal pasti apa sebenarnya penyakit yang dialami Resmanshah dan ia kekal sebagai misteri sehingga ke hari ini.

Ketidakupayaan yang dialami Resmanshah itu tidak meletakkan titik noktah terhadap kerjayanya sebagai seorang penulis. Ditanya apa yang membuatkan dia terus komited dalam bidang ini, Resmanshah mengatakan bahawa surat terakhir kedua-dua anaknya sebelum mereka pergi buat selama-lamanya menjadi kekuatan bagi dirinya untuk terus menulis.

Don’t stop writing because I’m proud of you,” demikianlah coretan terakhir kedua-dua puterinya.

Ikuti temu bual penuh Resmanshah dalam video di bawah:

Untuk memberi sokongan buat Resmanshah terus menulis, anda boleh dapatkan karya-karya beliau menerusi WhatsApp di talian 017-2070171 (Resmanshah).

Sumber:

Artikel Lain Untuk Di Baca