Doktor Wanita Di Delhi Ini Dikurung Oleh Jiran Selepas Sembuh COVID-19

Seorang doktor wanita di New Delhi yang baru sahaja sembuh daripada COVID-19 telah diherdik, diugut, dihina dan turut dikurung di rumahnya oleh jiran tetangga.

Dilaporkan, doktor yang malang itu dijangkiti penyakit itu di sebuah hospital kerajaan ketika merawat seorang pesakit COVID-19.

Pada Rabu lalu, beliau telah dibenarkan untuk keluar wad dan pulang ke rumahnya di Vasant Kunj bagi menjalani kuarantin.

Namun begitu, kehadirannya tidak disenangi oleh orang ramai yang bimbang dijangkiti virus tersebut.

Menurut laporan polis, jiran yang dikenali sebagai Manish itu bertindak keterlaluan apabila mengurung mangsa sebaik sahaja doktor itu pulang dari rumah.

Sehingga kini, penularan wabak COVID-19 telah menyaksikan petugas perubatan profesional mengalami diskriminasi daripada masyarakat yang takut untuk mendekati mereka.

Malah, mereka juga tidak menghargai usaha barisan hadapan dalam membendung penularan penyakit.

Walaupun kerajaan India telah mengenakan perintah berkurung sejak 25 Mac, namun jumlah kes di negara itu begitu ketara meningkat.

Antara negeri di India yang paling teruk terjejas adalah Maharashtra dengan 29,100 kes, Tamil Nadu 10,108 kes, Gujarat 9,931 kes dan New Delhi 8,895 kes.

Dijangka Perdana Menteri India, Narendra Modi akan mengumumkan sama ada perintah berkurung yang sepatutnya berakhir esok akan dilanjutkan atau tidak.

Sehingga esok, perintah itu sudah berkuat kuasa di seluruh India selama 54 hari.

Untuk membaca artikel lain berkaitan COVID-19, anda boleh klik pada pautan di bawah:

Sumber:

Artikel Lain Untuk Di Baca