Doktor Malaysia Ini Kongsi Kisah Hadapi Gempa Bumi Di Turkiye

*Gambar di atas hanya sekadar hiasan. Sumber: Berita Harian dan The Sun Daily

Bertugas di salah satu kawasan paling teruk terjejas akibat gempa bumi di Turkiye, Dr. Syazwan Abu Bakar iaitu seorang doktor am rakyat Malaysia yang bertugas di sebuah hospital di bandar Gaziantep menceritakan pengalaman berdepan situasi bencana alam itu kepada Bernama.

“Ramai mangsa yang datang ke hospital selepas dibawa keluar daripada timbunan bangunan dalam keadaan patah kaki. Ada yang mengalami pendarahan otak dan ada juga yang sampai dalam keadaan tidak bernyawa,” ujarnya.

Dr. Syazwan menjelaskan bahawa beliau dan petugas lain terpaksa berlari keluar dari hospital untuk menyelamatkan diri setiap kali gempa susulan berlaku. Gempa susulan itu juga telah menyebabkan bangunan hospital itu mengalami keretakan.

“Ketika gempa pertama berlaku kira-kira pukul 4.30 pagi, saya on call dan sedang berehat. Saya lari keluar dan kemudian saya naik semula untuk tengok pesakit.

Ketika gempa kedua berlaku pada tengah hari, saya lari keluar bangunan sekali lagi dan selepas itu bertugas di unit kecemasan,” jelasnya.

Sumber: Al Jazeera

Dalam pada itu, Dr. Syazwan berkata beliau mengenali lima lagi rakyat Malaysia yang menetap di Gaziantep dengan dua daripada mereka turut bertugas sebagai doktor.

Walau bagaimanapun, beliau tidak tahu tentang keadaan rakyat Malaysia lain di Gaziantep kerana kesibukan merawat mangsa gempa bumi yang cedera.

“Pagi tadi (Isnin) ada orang kedutaan telefon saya tetapi ketika itu saya agak sibuk. Saya cuma beri nombor telefon dua lagi rakyat Malaysia di sini,” tambahnya.

Doktor am itu yang tinggal seorang diri di Gaziantep berkata beliau tidak dapat pulang ke rumah kerana bangunan rumahnya juga mengalami keretakan.

Ahli keluarga Dr. Syazwan menetap di daerah lain sejauh tiga jam perjalanan dari Gaziantep dan berkemungkinan akan dipindahkan ke kawasan yang lebih selamat.

“Rumah keluarga saya di sana juga retak jadi mereka akan berpindah ke kawasan di sebelah barat yang lebih selamat,” jelasnya.

Gaziantep adalah salah satu kawasan paling teruk terjejas kerana gempa bumi berukuran 7.8 skala Richter yang melanda wilayah selatan Turkiye iaitu Kahramanmaras pada awal pagi Isnin.

Sumber: Daily Sabah

Beberapa jam selepas itu, penduduk Turkiye digemparkan dengan satu lagi gempa bumi bermagnitud 7.6 pada skala Richter. Memetik laporan Berita Harian, gempa bumi itu dilaporkan berlaku pada 1.24 tengah hari waktu tempatan di daerah Elbistan di Kahramanmaras semalam.

Kami ingin mengambil kesempatan ini untuk merakamkan ucapan takziah kepada mangsa dan keluarga yang terjejas akibat gempa bumi di Turkiye.

Untuk baca artikel-artikel berkaitan, anda boleh klik pada pautan di bawah:

Sumber:

Artikel Lain Untuk Di Baca