Doktor Ini Kongsikan Kisah Kekecewaannya Dan Kenapa Semua Perlu Tahu Cara Lakukan CPR Dengan Betul

“Saya CPR dari rumah. Dia tidak sedar. Tolong suami saya,” itulah laungan dari kereta.

Semua orang yang pernah berada dalam situasi di atas pasti akan berasa risau sekiranya ada apa-apa perkara buruk berlaku kepada yang tersayang.

Dalam situasi di mana pesakit mengalami serangan jantung yang teruk atau terlibat dalam kemalangan serius, prosedur resusitasi kardiopulmonari (CPR) perlu diberikan kepada mangsa supaya individu berkenaan terus hidup.

Sekiranya anda mahu tahu, CPR ialah prosedur pertolongan cemas yang digunakan untuk memastikan bekalan darah dan oksigen dapat diteruskan ke seluruh tubuh seseorang yang mengalami serangan jantung.

CPR hanya boleh diberikan kepada mangsa sekiranya jantung beliau telah berhenti berdenyut dan berfungsi secara normal. Untuk membolehkan mangsa terus hidup, penyelamat mesti memulakan CPR dalam masa empat minit selepas pernafasan dan denyutan jantung individu berkenaan terhenti.

Berdasarkan sebuah hantaran daripada Dr. Malar Santhi Santherasefapan #celotehdrmalar di laman Facebook beliau, CPR ini masih asing kepada sebahagian besar rakyat Malaysia.

“Suaminya memang pesakit jantung. Setiap hari kena makan ubat. Setiap bulan kena follow up. Beliau ada penyakit darah tinggi, kencing manis dan kolestrol tinggi. Kami angkat beliau dari kereta ke atas troli.

Tidak ada denyutan nadi ataupun pernafasan secara spontan. Disebabkan saya adalah yang paling kecil, saya naik di atas troli dan terus memulakan CPR.

Jururawat terus mengambil alih untuk memberi bantuan CPR kepada mangsa sebaik sahaja kami tiba di zon merah. Pernafasan diberikan melalui beg valve mask. Dua kali pernafasan dan perlu sambung tekan dada sebanyak 30 kali,” ujarnya.

Dr. Malar turut berkata bahawa beliau perlu lengkapkan lima pusingan CPR sebelum menyemak nadi di tengkuk pesakit (carotid pulse). Beliau kemudiannya memasang wayar di dada dan lihat garisan atas monitor menunjukkan flat line.

Sebagai seorang team leader dalam resuscitation, Dr. Malar memberi arahan kepada para jururawat bersama beliau dalam zon merah, “Asystole, sambung CPR, tengok semula denyutan nadi semasa kitaran kelima. Sister tolong peka selepas dua minit. Line sudah masuk ke? IV Adrenaline 1 miligram setiap tiga minit. Tolak dengan 10 mililiter saline normal.”

Sumber: Facebook Dr. Malar Santhi Santharasegapan

Sementara menyediakan intubasi ETT saiz 7.5 dan 8.0, Dr. Malar memeriksa biji mata pesakit tetapi lelaki itu tidak menunjukkan apa-apa reaksi terhadap lampu meskipun saiznya sudah mencecah lima milimeter. Dalam erti kata lain, mata pesakit sudah terbeliak.

“Nasib baik nampak vocal cord dengan senang. Saya masukkan ETT saiz 7.5 dan bag valve mask dan kemudiannya serah semula kepada staff untuk plaster dan sambung bagging,” jelas Dr. Malar.

Selepas menjelaskan keadaan pesakit kepada isterinya, Dr. Malar kemudiannya bertanya wanita tersebut apa yang sebenarnya berlaku kepada suaminya.

“Dari pagi, dia kata angin sangkut dekat dada. Makan tidak cerna katanya. Selepas ambil ubat gastrik di klinik, keadaan suami saya bertambah baik pada waktu tengah hari.

Selepas makan malam, suami berkata angin sangkut semula di dada. Suami kata dirinya berasa sedikit lega selepas saya sapu minyak angin dan urutnya.

Saya terlelap dalam 30 minit dan lihat mulut suami berbuih dan matanya terbeliak ke atas sebaik sahaja bangun dari tidur. Saya pun terus beri CPR kepada suami dengan tiup berterusan dalam mulutnya,” jelas wanita tersebut.

Walau bagaimanapun, wanita tersebut kurang jelas dengan konsep CPR berdasarkan jawapan beliau kepada soalan Dr. Malar. CPR pada pandangan wanita berkenaan adalah dengan meniup untuk memberi pernafasan dalam mulut dan bukannya tekan dada pesakit.

“Disebabkan takut suami tidak boleh bernafas, saya tiup untuk beri pernafasan dalam mulut. Selepas itu, saya terfikir dia tidak habis makan malamnya jadi saya pun lari pergi ambil gula. Akibat perasaan takut kandungan gula dalam darahnya rendah, saya masukkan air gula dalam mulut suami,” tambahnya.

Sementara menunggu kakaknya datang untuk membawa mereka ke hospital, wanita itu gosok kaki dan belakang tengkuk suaminya serta tiup dalam mulut untuk beri pernafasan kepada lelaki tersebut.

Walau bagaimanapun, wanita itu tidak memeriksa nadi pesakit. Beliau ada tekan dada suaminya tetapi lelaki itu tidak memberikan apa-apa reaksi.

Dalam pada itu, Dr. Malar turut berkata bahawa anda perlu cari nadi di bawah tengkuk pesakit sekiranya individu berkenaan tidak sedar. Sekiranya tidak ada nadi, anda boleh mulakan tekanan dada. Jika tidak pasti, boleh sahaja mulakan dengan tekanan dada.

“Kalau sebenarnya dia sedar, pesakit akan bangun dan memberi sebiji penampar dekat kamu sebab tekanan dada ini sakit. Sekiranya tidak sedar dan tiada nadi, kamu sedang bantu jantung dia mengepam darah ke seluruh badan,” jelasnya ringkas.

Dr. Malar turut memberi peringatan kepada orang ramai untuk tidak memberi apa-apa makanan atau minuman sekiranya pesakit berada dalam keadaan tidak sedar ataupun tidak bernafas. Ini boleh membuatkan individu berkenaan tersedak kerana makanan masuk dalam paru-paru.

Perkongsian beliau mencuri perhatian ramai apabila meraih 7,700 tanda suka dan 13,069 perkongsian di laman Facebook selepas 16 jam. Adakah anda sudah tahu tentang prosedur CPR?

Untuk baca artikel-artikel berkaitan, anda boleh klik pada pautan di bawah:

Artikel Lain Untuk Di Baca