Kebanyakan individu terbiasa menyimpan barangan tertentu dalam kenderaan masing-masing. Selain daripada kasut, salinan pakaian dan alat ganti kereta, pemilik kenderaan lazim menyimpan makanan dan minuman dalam jangka masa yang lama.
Ramai dalam kalangan masyarakat kini berbuat demikian kononnya untuk memudahkan urusan mereka. Namun, perlu diketahui bahawa menggunakan kenderaan anda sebagai tempat penyimpanan stok makanan dan minuman untuk tempoh yang lama boleh mendatangkan kemudaratan bagi kesihatan tubuh badan.
Sebagaimana yang dikongsikan oleh seorang ahli perubatan iaitu Dr. Kamarul Ariffin Nor Sadan menerusi posting di media sosial Facebook, berikut kami kongsikan 6 barangan yang perlu elak daripada disimpan dalam kereta anda:
1. Bekas makanan dan minuman
Bekas makanan dan minuman adalah dilarang sama sekali untuk ditinggalkan bagi tempoh yang lama dalam kereta. Ia tidak dicipta sebagai alat yang tahan panas dan sinar matahari.
Oleh itu, bekas yang diperbuat daripada bahan yang boleh terurai ini berupaya membebaskan bahan kimia sekiranya terdedah kepada suhu 70 darjah celcius. Bahan kimia yang terurai akan meresap ke dalam makanan dan boleh memudaratkan tubuh badan sekiranya dimakan.
2. Bekalan ubat-ubatan
Untuk pengetahuan anda, ubat-ubatan perlu disimpan dalam suhu bilik iaitu sekurang-kurangnya 25 darjah celcius atau lebih rendah. Maka, jika melebihi daripada suhu yang ditetapkan, ia akan mudah rosak.
Selain berkaitan dengan suhu, terdapat juga bekalan ubat-ubatan yang wajib disimpan dalam tempat gelap. Sekiranya pesakit tidak tahu akan penjagaan ubat-ubatan yang betul, ia akan memudaratkan kesihatan bukan menyembuhkan.
3. Barangan gajet
Tidak kurang juga tabiat masyarakat masa kini yang gemar menyimpan alatan elektronik mudah alih dalam kenderaan mereka. Contoh paling mudah ialah pengecaj telefon, powerbank, komputer riba dan sebagainya.
Menurut ahli perubatan ini, risiko meninggalkan atau menyimpan barangan gajet dalam kereta adalah sangat tinggi peratusannya untuk meletup dan terbakar. Tambahnya lagi, barangan ini sering menjadi sasaran utama pihak tidak bertanggungjawab seperti perompak.
4. Racun serangga
Barangan kimia berbentuk semburan seperti racun nyamuk, racun lipas, dandanan rambut dan pewangi mengandungi udara yang mampat dalam bekas menyebabkan ia mempunyai tekanan tinggi.
Suhu panas mampu mengembangkan molekul udara dalam bekas tersebut. Apabila tekanan semakin meningkat, bekas berisiko untuk meletup.
5. Ubat gegat
Tidak kurang juga mereka yang gemar menyimpan ubat gegat di dalam kereta. Ubat gegat yang disimpan dalam suhu tinggi menyebabkan ia mudah meruap dalam ruangan kabin kereta. Udara yang dicemari dengan racun boleh menjejaskan kesihatan anda setiap kali menghidu bauan tersebut.
6. Pemetik api dan petrol
Seperti barangan gajet, pemetik api juga berupaya untuk meletup jika dibiarkan dalam suhu yang tinggi. Tidak kurang juga individu yang gemar menyimpan petrol dalam kenderaan mereka. Kebarangkalian untuk terbakar secara tiba-tiba memang tipis namun berupaya menyebabkan kebakaran sekiranya berlaku kemalangan.
7. Kanak-kanak
Tindakan ibu bapa yang meninggalkan anak-anak mereka di dalam kereta biarpun enjin kenderaan tidak dimatikan menjadi tabiat lazim dalam kalangan masyarakat kita. Kedengaran seperti perkara biasa, namun terdapat pelbagai kemungkinan buruk yang boleh berlaku sekiranya tabiat ini tidak diubah.
Kebanyakan kes yang sering berlaku melibatkan penculikan dan kematian kanak-kanak berpunca daripada tabiat ini. Misalnya meninggalkan anak-anak dalam kenderaan kerana pergi sebentar ke pasar raya, akhirnya anak diculik dan kereta dibawa lari. Tidak kurang juga, anak-anak yang meninggal dunia disebabkan oleh strok haba atau kesukaran bernafas sehingga lemas.
Sebagai pemilik kenderaan yang bijak, elakkan tabiat menjadikan kenderaan anda sebagai tempat penyimpanan barangan seperti yang disenaraikan di atas. Bak kata pepatah, sediakan payung sebelum hujan.