Doktor Ini Jatuh Secara ‘Misteri’ Dari Tingkap Hospital Setelah Bersuara Tentang Kekurangan PPE Di Rusia

Seorang doktor menjadi petugas perubatan yang ketiga di Rusia yang jatuh dari tingkap hospital setelah mengadu tentang kerjanya dan kekurangan peralatan perlindungan diri (PPE).

Alexander Shulepov kini berjuang untuk hidup setelah cedera parah di kepala apabila beliau dikatakan terjun dari tingkat dua di hospital di daerah Novousmanskaya di bandar Voronezh, Rusia pada hujung minggu lalu.

Beliau yang berumur 37 tahun itu bertugas merawat pesakit yang dijangkiti COVID-19 di dalam ambulans.

Beberapa hari sebelum kemalangan itu, dia dan seorang rakannya Alexander Kosyakin membuat rakaman bahawa mereka dipaksa bekerja oleh majikan walaupun positif COVID-19.

Menurut laporan berita tempatan, Kosyakin kemudian disoal polis kerana disyaki menyebarkan berita palsu beberapa hari selepas dia muncul dalam talian.

Shulepov kemudian membuat rakaman keduanya ketika dia dirawat di hospital akibat COVID-19. Dalam rakaman itu, dia menarik balik dakwaan yang dibuat dalam video pertama.

Insiden jatuh itu telah menimbulkan spekulasi bahawa dia didesak untuk merakam kenyataan menarik balik dakwaan dalam video pertamanya.

Shulepov, yang kini berada dalam keadaan kritikal dikatakan berusaha untuk mendedahkan keadaan sebenar pesakit COVID-19 di negara itu.

Baru-baru ini, dua doktor kanan wanita meninggal dunia selepas jatuh dari tingkap setelah mereka mencabar pegawai atas berhubung kekurangan PPE untuk merawat pesakit.

“Doktor ambulans Alexander Shulepov ada di sebelah saya, dia baru disahkan COVID-19. Ketua doktor memaksa kami untuk bekerja, apa yang patut kami lakukan dalam keadaan ini?

Kami tidak meninggalkan syif. Saya dan Alexander telah bekerja selama sebulan. Inilah keadaannya. Semua orang kata ia palsu tetapi ini adalah fakta sebenar untuk anda,” kata Kosyakin di dalam video tersebut.

Ketua hospital telah menolak semua tuduhan yang dibuat oleh Shulepov dan rakannya itu.

Bulan lalu, Dr. Natalya Lebedeva telah maut terjatuh dari tingkat enam sebuah hospital di Moscow setelah rakan-rakannya memberitahu dia secara tidak adil dipersalahkan berhubung penularan COVID-19 di tempat bertugas setelah disahkan positif.

Dr. Yelena Nepomnyashchaya, yang bekerja di hospital di bandar Krasnoyarsk, Siberia juga telah meninggal dunia setelah terjatuh dari tingkap hospitalnya.

Kejadian itu terjadi setelah beliau mengadu mengenai kekurangan PPE untuk doktor dan jururawat.

Untuk membaca artikel lain berkaitan COVID-19, anda boleh klik pada pautan di bawah:

Sumber:

Artikel Lain Untuk Di Baca