Seorang pemandu treler dihadapkan ke Mahkamah Majistret Shah Alam semalam atas 10 pertuduhan memandu secara berbahaya sehingga menyebabkan 10 individu termasuk sembilan sekeluarga maut dalam tragedi minggu lalu.
Memetik laporan Berita Harian, Mohd Rafi Jaafar mengaku tidak bersalah sebaik sahaja pertuduhan ke atasnya dibacakan secara berasingan di hadapan Majistret Nur Faizah Abdul Sani.
Rafi yang memandu treler jenis Hanvan didakwa memandu kenderaan dengan cara bahaya kepada orang awam dan menyebabkan sembilan penumpang sebuah kereta dengan nombor pendaftaran WNL 1061 serta seorang pemandu kereta dengan nombor pendaftaran MAS 6651 maut.

Tertuduh didakwa melakukan semua kesalahan itu di kawasan Rawat dan Rehat (R&R) USJ Lebuhraya Elite menghala ke Shah Alam kira-kira jam 12.02 malam pada 18 Disember (Sabtu) lalu.
Rafi dituduh mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang membawa hukuman penjara sehingga 10 tahun serta denda maksimum RM50,000 jika sabit kesalahan.
Pihak pendakwaan diketuai Pengarah Pendakwaan Selangor iaitu Mohammad Al-Saifi Hashim dan Mohd Asnawi Abu Hanipah serta Saidah Fasihah Che Yussoff manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Dalam pada itu, pihak pendakwaan menawarkan jaminan RM5,000 bagi setiap pertuduhan dengan seorang penjamin dengan syarat tambahan lesen memandu ditahan dan tertuduh tidak dibenarkan mengganggu saksi.

Walau bagaimanapun, tertuduh merayu jaminan dikurangkan atas alasan isterinya tidak bekerja dan kini menjaga seorang anak yang sakit di Hospital Melaka.
Mahkamah kemudian membenarkan ikat jamin RM1,000 bagi setiap pertuduhan bersama syarat tambahan lesen memandu digantung serta-merta.
Pihak mahkamah turut memerintahkan tertuduh melapor diri di balai polis berdekatan rumahnya pada minggu pertama setiap bulan dan tidak dibenarkan mengganggu mana-mana saksi.
Kes ini ditetapkan untuk sebutan pada 27 Januari 2022 nanti. Rafi sebelum ini direman empat hari bagi membantu siasatan kemalangan membabitkan treler dipandunya dan tiga kereta sehingga menyebabkan 10 mangsa maut pada Sabtu lalu.
Untuk baca artikel-artikel berkaitan, anda boleh klik pada pautan di bawah: