Dituduh Menjadi Punca Ashraf Muslim Dan Puteri Aishah Positif COVID-19, Pengarah Rahila Ali Terima Ribuan Mesej Kecaman

Masihkah anda ingat berita tentang pelakon Ashraf Muslim dan Puteri Aishah yang disahkan positif COVID-19 ketika sedang menjalani sebuah penggambaran di Scotland pada April lalu?

Baru-baru ini, pengarah Rahila Ali mendedahkan bahawa dia menerima pelbagai mesej kecaman daripada warganet di laman sosial. Menurutnya, ada sesetengah orang yang menuduh dirinya sengaja mengabaikan soal keselamatan pelakon dan kru produksi kerana mengadakan penggambaran di luar negara ketika seluruh dunia sedang berdepan dengan peningkatan kes wabak berkenaan.

“Kalau tengok telefon ketika itu (sewaktu dirawat), memang sedih kerana mesej diterima daripada netizen di Instagram kebanyakannya mendoakan saya mati.

“Beribu-ribu mesej saya terima daripada netizen yang mahu saya mati kerana mereka marah saya kerana dikatakan sudah menyebabkan orang lain terutama artis kesayangan menjadi mangsa dijangkiti COVID-19 akibat penggambaran di luar negara itu.

“Ketika di Scotland itu, pasukan kru produksi saya dan pelakon ada 25 orang dan kami semua okay sepanjang penggambaran di sana. Cuma, beberapa orang termasuk saya dijangkiti COVID-19 kerana kami dalam penerbangan sama.

“Sebagai hamba-Nya, kita kena reda. Cuma, yang buat saya sedih dan terkilan apabila segelintir netizen sanggup menuding jari dan mendoakan yang tidak elok kerana saya dan pasukan dicop kluster Scotland,” katanya.

Dalam pada itu, Rahila yang juga merupakan bekas pesakit COVID-19 memaklumkan bahawa kini dia sudah semakin berhati-hati  apatah lagi sekarang Malaysia mencatat peningkatan kes baharu setiap hari.

“Saya kini cepat sangat rasa penat dan selain itu, masalah rabun untuk kedua-dua mata jadi lebih teruk dan perlu bergantung dengan cermin mata atau kanta lekap.

“Kalau dulu, saya hanya perlu memakai cermin mata untuk membaca. Tapi, sekarang memang kena pakai setiap masa atau guna kanta lekap saja. Jika tak guna, penglihatan saya kabur teruk dan tak nampak langsung,” jelas Rahila.

Untuk rekod, pada 7 April lalu, Rahila bersama 4 kru produksi drama Demi yang menjalani penggambaran di Inverness, Scotland telah disahkan positif COVID-19.

Turut positif penyakit itu adalah 3 pelakon drama tersebut iaitu Puteri Aishah, Ashraf Muslim dan pelakon kanak-kanak Puteri Rayyana Rayqa.

Untuk baca artikel berkaitan, anda boleh klik pada pautan di bawah:

Sumber:

Artikel Lain Untuk Di Baca