Dituduh Dapat RM100,000 Dari Finas, Ibu Puteri Balqis Terkilan Terus Jadi Mangsa Fitnah

Ibu kepada pelakon cilik Puteri Balqis iaitu Norashikin Mohd Aziz menafikan dakwaan segelintir pihak yang mendakwa dia mendapat sumbangan berjumlah RM100,000 dari Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas).

Ketika ditemui, Norashikin menyuarakan rasa terkilan susulan dakwaan yang disifatkan sebagai fitnah itu.

“Terlalu banyak fitnah yang saya terima sehingga ada yang mengatakan Seniman dan Finas beri saya RM100,000. Saya tidak mampu untuk berkata apa-apa lagi,” ujarnya.

“Nasib baik saya jual buku. Kalau saya memang minta tolong sahaja pasti ada orang akan mengungkit.”

Norashikin juga menyeru kepada pihak yang mula-mula membuka cerita ini supaya tidak lagi memfitnah dirinya dan juga anak perempuannya. Selain itu, dia turut menegaskan dia sangat sibuk dengan urusan penjualan dan penghantaran buku.

Berbicara mengenai motif anaknya, Puteri Balqis yang bertindak menyahaktifkan akaun Instagram, Norashikin mengangguk mengiakan perkara tersebut.

“Memang benar Aqish (Puteri Balqis) tutup Instagram,” katanya.

“Dia kecewa dan sedih apabila terlalu banyak menerima kiriman mesej yang bukan-bukan di laman Instagram. Buat sementara waktu ini, Aqish mahu fokus pada diri sendiri dan penjualan buku.”

Walau bagaimanapun, Norashikin menegaskan dia dan anaknya tidak melarikan diri tetapi masih menjual buku seperti biasa. Ujar wanita itu, mereka dua beranak berasa lebih tenang tanpa media sisoal.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Finas, Ahmad Idham Nadzri berkata, pihaknya tidak pernah memberikan sumbangan dengan jumlah yang didakwa itu.

“Memang benar Finas ada memberi sumbangan kepada Puteri Balqis tapi tidak dengan jumlah itu. Saya tidak boleh mendedahkan berapa,” ujarnya.

Terdahulu, tular di media sosial mengenai sebuah rakaman klip video yang memaparkan usahawan popular, Aliff Syukri yang mengajukan sumbangan kepada Puteri Balqis mengenai apa yang bakal dilakukan dengan wang sumbangan orang ramai yang dikatakan sudah mencecah RM100,000.

“Duit itu ada yang Balqis mahu simpan, ada yang mahu disedekahkan dan untuk Forex sebab kami suka graf,” jawab Balqis.

Respon pelakon cilik itu menggemparkan warganet sehingga tercetusnya perdebatan di media sosial.

Sebelum ini, Puteri Balqis pernah tular di media sosial selepas kisah hidupnya yang kini hanya berdua bersama ibunya selepas wanita berkenaan berpisah dengan suaminya semenjak empat tahun lalu.

Untuk membaca artikel lain berkaitan Puteri Balqis, sila klik pada pautan di bawah:

Sumber:

Artikel Lain Untuk Di Baca