Ditipu Hidup-Hidup, Wanita Ini Rugi RM180,000 Akibat Terpedaya Dengan Mesej WhatsApp

Hasrat seorang jurujual telefon untuk membuka kafe musnah apabila hasil simpanannya serta wang yang dipinjamkan rakan berjumlah RM180,000 lesap gara-gara diperdaya sindiket pemberi pinjaman wang menerusi aplikasi WhatsApp.

Menurut Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Kedah iaitu Superintendan Annuar Amri Abd Muluf, wanita berusia 24 tahun itu telah membuat laporan polis pada Rabu setelah menyedari dirinya ditipu sindiket terbabit pada Khamis minggu lepas.

Mangsa pada mulanya menerima mesej menerusi aplikasi tersebut di mana seorang individu telah menawarkan pinjaman RM250,000. Mesej tersebut diterimanya ketika berada di Jalan Pegawai, Alor Setar.

“Individu yang menghantar mesej itu memperkenalkan diri sebagai ‘Kent’ dan mengaku ejen syarikat pemberi pinjaman wang dengan nama ‘Agensi YMS’.”

“Syarikat terbabit menawarkan pinjaman kepada mangsa yang berhasrat membuka sebuah kafe di Alor Setar,” kata Annuar Amri dalam satu kenyataan.

Tambahnya lagi, sehari selepas itu, mangsa telah menerima satu pesanan ringkas menerusi talian 62033. Pesanan itu mendakwa bahawa pinjaman tersebut telah diluluskan, namun beberapa pembayaran perlu dibuat ke beberapa akaun bank yang berbeza sebagai kos pemprosesan.

Tanpa berfikir panjang, mangsa kemudiannya melakukan 14 transaksi ke lapan akaun bank tempatan menerusi pemindahan secara dalam talian serta melalui kaunter.

“Mangsa berbuat demikian kerana percaya pinjaman penuh akan dimasukkan ke dalam akaunnya selepas pembayaran dibuat. Jumlah keseluruhan transaksi adalah RM182,340, wang simpanan mangsa serta dipinjam daripada rakan sekerja.”

“Wanita berkenaan kemudian mahu membatalkan pinjaman, namun ejen terbabit memberitahu dia perlu membayar RM25,000. Sekiranya enggan, wang tidak akan dipulangkan dan didakwa akan dibekukan oleh Bank Negara Malaysia.”

“Berasa tertipu, mangsa membuat laporan polis semalam dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya.

Bermula dari Januari hingga Jun lalu, sebanyak 171 kes membabitkan modus operandi sama dilaporkan berlaku di negeri ini di mana jumlah kerugian keseluruhan adalah sebanyak RM1.1 juta.

Menurut Annuar Amri, peningkatan sebanyak 26 kes berbanding tahun lalu itu sangat membimbangkan.

“Justeru, kita nasihatkan orang ramai supaya tidak mudah terpedaya, abaikan iklan atau tawaran pinjaman wang menerusi aplikasi telefon seperti WhatsApp, Telegram dan sebagainya.”

“Orang ramai hendaklah menyekat atau melaporkan nombor telefon yang menawarkan pinjaman wang tidak wujud ini kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) supaya perkhidmatan sedemikian dapat ditamatkan,” katanya.

Sumber:

Artikel Lain Untuk Di Baca