Ditinggalkan Sendirian Ketika Bapa Beli Barang, Kanak-Kanak 4 Tahun Maut Jatuh Dari Tingkat 29

Seorang kanak-kanak perempuan berusia empat tahun telah ditemukan maut akibat terjatuh dari tingkat 29 ke tingkat lapan di sebuah kondominium Jalan Ipoh semalam.

Menurut Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai, pihak polis menerima maklumat tentang kejadian tersebut kira-kira jam 2:41 petang.

Sepasukan pihak polis dari Balai Polis Jinjang telah bergegas ke lokasi dan berdasarkan siasatan awal, mangsa dipercayai telah ditinggalkan bersendirian tanpa sebarang pengawasan di rumah dalam keadaan berkunci.

Bapa mangsa dikatakan telah keluar untuk membeli barang dan apabila pulang ke rumah, dia mendapati anaknya sudah tiada.

Dia kemudiannya meminta bantuan pihak pengurusan untuk mencari anak perempuannya itu.

Tidak lama selepas itu, mangsa ditemui oleh salah seorang kakitangan pengurusan di kawasan koridor tingkat lapan dalam keadaan tidak bernyawa.

Mengulas lanjut tentang kejadian, Eng Lai menjelaskan bahawa hasil siasatan di tempat kejadian mendapati tingkap di bilik mangsa dalam keadaan terbuka dan terdapat sebuah kerusi yang terletak di tepi tingkap bilik tersebut.

Tingkap berkenaan juga tidak mempunyai jeriji dan hasil siasatan lanjut mendapati tiada sebarang unsur jenayah ditemukan dalam insiden ini.

Bapa mangsa mengesyaki bahawa anak perempuannya itu telah terjatuh dari tingkap rumah mereka.

Pihak pengurusan telah menghubungi ambulans dari Hospital Selayang dan mangsa telah disahkan meninggal dunia oleh pegawai paramedik yang berada di tempat kejadian.

Mayat mangsa telah dirujuk ke Unit Forensik Hospital Selayang untuk dibedah siasat atas tujuan mengenalpasti punca kematian dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

Untuk baca artikel-artikel berkaitan, anda boleh klik pada pautan di bawah:

Sumber:

Artikel Lain Untuk Di Baca