Seorang ibu mengaku bersalah atas tuduhan membunuh selepas pihak berkuasa menemui mayat anak gadisnya yang ditinggalkan bersendirian di rumah selama satu minggu.

Maria Plenkina, 21, mengabaikan anak perempuannya yang berusia tiga tahun, Kristina di sebuah pangsapuri di Kirov, Rusia. Motif kejadian adalah kerana si ibu mahu pergi berparti selama satu minggu.

Menurut laporan mahkahmah, Kristina berasa terlalu lapar usai ditinggalkan ibunya sehingga dia sanggup menjamah sabun pencuci.

Jasad kanak-kanak malang itu ditemui dalam keadaan tidak berpakaian di dalam sebuah unit pangsapuri yang sejuk dan dipenuhi sampah.
Difahamkan, Maria ada meninggalkan makanan untuk Kristina sebelum dia keluar berparti. Namun begitu, kuantiti hidangan berkenaan terlalu sedikit dan tidak mungkin dapat bertahan sehingga satu minggu lamanya.
Tidak cukup dengan itu, Maria turut mengaku menutup bekalan air di rumah tersebut sebelum dia meninggalkan Kristina keseorangan selama satu minggu.

Siasatan lanjut membuktikan Maria mengurung anaknya di dalam unit pangsapuri berkenaan dari tarikh 13 Februari 2019 sehingga 20 Februari 2019.
Mayat Kristina ditemukan oleh neneknya, Irina, 47, yang datang ke pangsapuri itu untuk mengucapkan selamat hari lahir kepadanya.
Selepas Maria mengaku atas kesalahan itu, dia kini berdepan hukuman penjara di antara lapan sehingga 20 tahun.

Sementara itu, nenek kepada kanak-kanak malang itu memberitahu mahkamah dia langsung tidak diberitahu mengenai keberangkatan Maria ke parti berkenaan.
“Kalau saya tahu dia (Maria) hendak keluar, saya sudah pasti akan menjaga Kristina. Saya sama sekali tidak menyangka Maria sanggup melakukan perkara itu. Dia tipu saya dengan memberitahu segalanya baik-baik sahaja,” katanya.
Untuk membaca artikel lain berkaitan penderaan kanak-kanak, sila klik pada pautan di bawah: