‘Ditikam’ Ikan Pari Gergasi Beratus Kali, Jurukamera Kongsi Detik Kematian The Crocodile Hunter

Pasti ramai pembaca di sini yang tahu tentang rancangan yang pernah menjadi fenomena pada penghujung tahun 90-an dan awal 2000 iaitu The Crocodile Hunter. Ia merupakan sebuah rancangan berbentuk dokumentari tentang hidupan liar. Rancangan tersebut dihoskan oleh Steve Irwin dan isterinya, Teri.

Keberanian Steve Irwin itu sendiri menjadi sebab utama kenapa rancangan ini menjadi begitu popular dalam kalangan penonton. Rakaman hidupan liar yang dimuatkan dalam rancangan ini dirakam secara depan-depan di mana selalunya, Steve Irwin akan berada sangat dekat dengan ‘pelakon-pelakon’ itu.

Perkara ini membuatkan The Crocodile Hunter berbeza daripada rancangan dokumentari lain seperti National Geographic yang menggunakan teknik kamera untuk merakam video daripada jauh sahaja. Tidak hairanlah kenapa para penonton lebih gemarkan rancangan ini berbanding dengan rancangan-rancangan lain.

Steve Irwin digelar sebagai ‘The Crocodile Hunter’ kerana keberaniannya itu. Beliau yang berasal dari Australia merupakan seorang pencinta haiwan yang bekerja di zoo milik keluarganya iaitu Zoo Australia.

Beliau mewarisi sifat kedua-dua ibu bapanya yang juga merupakan pencinta haiwan. Beliau pernah menjadi pengacara bagi beberapa rancangan dokumentasi termasuklah The Crocodile Hunter (1996–2007), Croc Files (1999–2001), The Crocodile Hunter Diaries (2002–2006) dan New Breed Vets (2005).

Tugasnya sebagai pengacara tidak sama seperti pengacara yang lain kerana ia jauh lebih sukar. Nyawanya sentiasa berada dalam bahaya kerana beliau perlu berada secara dekat dan berhadapan dengan haiwan liar termasuklah haiwan yang ganas seperti buaya.

Perkara ini juga membawa kepada kematiannya di mana beliau meninggal dunia disebabkan oleh serangan ikan pari gergasi ketika sedang melakukan penggambaran bagi filem Ocean’s Deadliest.

Sebaik sahaja diserang oleh ikan pari tersebut, Steve Irwin mengatakan sesuatu yang masih segar dalam ingatan semua krew yang berada di situ. “I’m dying” merupakan kata-kata akhirnya sebelum beliau menghembuskan nafas terakhir. Perkara ini diakui sendiri oleh jurukamera yang bertugas pada hari tersebut iaitu Justin Lyons.

Malah, saat-saat kematian Steve Irwin ketika diserang oleh ikan pari tersebut turut berjaya dirakam oleh Justin. Ketika itu, Steve Irwin dan Justin Lyons yang asalnya berada di bot besar telah berpindah ke bot kecil untuk melakukan penggambaran.

Mengikut perancangan asal, babak di mana ikan pari tersebut berenang dan beredar jauh daripada Steve akan dijadikan sebagai babak terakhir filem itu. Namun begitu, nasib tidak menyebelahi Steve apabila ikan tersebut menyangka bayang-bayang Steve merupakan seekor ikan jerung. Ikan pari tersebut bertindak untuk ‘terbang’ keluar daripada air dan menyerang Steve.

Dalam kejadian malang itu, Justin langsung tidak menyangka serangan itu dan bertindak merakamnya. Menurut Justin, haiwan tersebut ‘menikam’ Steve beratus kali dalam tempoh beberapa saat sahaja. Namun begitu, beliau tetap merakam kejadian itu dan menganggap bahawa Steve hanya mengalami kecederaan kecil sahaja sepertimana yang dia selalu alami sebelum ini.

Sebaik sahaja meletakkan kameranya, Justin ternampak keadaan Steve yang cedera teruk dan berlumuran darah itu. Ketika itu, baru Justin sedar bahawa sesuatu yang buruk telah menimpa Steve.

Justin mengambil keputusan untuk mengeluarkan bahagian ikan yang tajam itu daripada badan Steve. Kecederaan yang dialami Steve sangat teruk kerana bahagian ikan tersebut yang ‘menikamnya’ bukan sahaja tajam malah bergerigi. Steve yang mengalami luka sebesar 2 inci di jantungnya kelihatan tenang ketika itu seolah-olah beliau tahu bahawa hayatnya sudah tidak panjang.

Video serangan ikan pari gergasi itu tidak pernah dikongsikan di mana-mana platfrom bagi menghormati keluarga Steve. Rakaman tersebut telah diserahkan kepada isteri Steve.

Anak-anak Steve Irwin turut mewarisi tahap kecintaannya terhadap haiwan. Robert dan Bindi telah meneruskan legasi Steve Irwin dengan siri dokumentasi terbaharu mereka bersama-sama dengan ibu mereka iaitu ‘Crickey! It’s The Irwins!’. Menurut mereka, rancangan ini diterbitkan bagi meneruskan kerja mendiang Steve Irwin yang dianggap ‘belum selesai’.

Cerita mengenai buaya, kami sebelum ini pernah berkongsi beberapa kisah menarik tentang haiwan ini. Anda boleh klik pada pautan di bawah untuk membaca artikel penuh:

Artikel Lain Untuk Di Baca