Ditanam Hidup-Hidup, Ini Kisah Penculikan dan Pembunuhan Jessica Lunsford

Walaupun dia merupakan seorang pelajar cemerlang, Jessica Lunsford tidak begitu pasti akan cita-citanya. Menurut gadis berusia sembilan tahun itu, mungkin dia mahu menjadi seorang pereka fesyen atau seorang penyanyi. Namun begitu, tak siapa sangka anak muda ini tidak akan hidup lama untuk merasai masa dewasa.

Jessica Lunsford dilaporkan hilang oleh bapanya pada 24 Februari 2005. Dia ditemui hampir empat minggu kemudian dalam keadaan sudah tidak bernyawa di dalam tanah. Lebih menyayat hati apabila pemeriksaan mendedahkan Jessica telah dirogol. Namun, punca kematian sebenar gadis itu adalah kekurangan oksigen akibat ditanam hidup-hidup.

Kehilangan dan penyiasatan

Pada pagi 24 Februari 2005, Mark Lunsford yakni bapa kepada Jessica telah masuk ke bilik anak gadis itu untuk mematikan jam penggeranya yang berbunyi. Apabila menyedari Jessica tiada di atas katil, Mark terus melakukan pencarian di dalam rumah namun susuk anaknya tidak dapat ditemui. Si bapa menjadi panik tatkala mendapati pintu hadapan rumah yang tidak berkunci lalu segera melaporkan perkara tersebut kepada pihak berkuasa.

Satu amaran kanak-kanak hilang dikeluarkan tidak lama kemudian. Pihak berkuasa dan beberapa sukarelawan turut membantu untuk mengesan gadis terbabit.

Apabila disoal mengenai kemungkinan Jessica lari dari rumah, keluarganya menolak perkara itu dengan keras. Menurut Mark, anaknya itu tidak mungkin meninggalkan rumah seorang diri pada waktu malam ekoran Jessica amat takut akan kegelapan. Malah, kanak-kanak itu dikatakan tidak boleh tidur tanpa lampu suluh menemaninya.

Petunjuk pertama bagi kes ini muncul pada 27 Februari. Polis mendedahkan satu rakaman kamera litar tertutup yang menunjukkan seorang lelaki bersama dua orang kanak-kanak berjalan di hadapan rumah keluarga Lunsford beberapa jam setelah Jessica dikatakan hilang. Namun begitu, hasil siasatan mendapati lelaki terbabit bukanlah suspek yang dicari.

Pada awal bulan Mac, siasatan secara meluas mula dilakukan demi mengesan Jessica. Jabatan Penguatkuasaan Undang-Undang Florida telah mengeluarkan 208 nama pesalah seks berdaftar yang tinggal di kawasan Citrus County di mana rumah datuk dan nenek Jessica berada. Satu siasatan telah dilakukan pihak polis di mana mereka telah pergi memeriksa setiap rumah pesalah seks dalam senarai.

Pada 15 Mac, polis telah dapat mengenal pasti seorang pesalah seks yang berkemungkinan besar adalah dalang disebalik kes kehilangan Jessica Lunsford. John Evander Couey,46, ditahan pihak polis pada 17 Mac setelah gagal hadir ke sesi soal siasat.

Laporan polis menunjukkan John Couey tinggal bersama kakaknya di sebuah rumah yang tidak jauh dari rumah keluarga Lunsford. Lelaki terbabit sepertinya sudah menjadikan jenayah sebagai punca pendapatan utama sehinggakan dia sudah ditahan 24 kali dalam tempoh 30 tahun.

Sepanjang hidupnya, John telah melakukan pelbagai siri jenayah seperti pencurian, membawa kenderaan ketika dibawah pengaruh alkohol, berkelakuan tidak senonoh di khayalak ramai, pemalsuan harta dan penderaan secara seksual terhadap kanak-kanak.

Pengakhiran bagi John Couey

Satu ujian mengesan penipuan dijalankan ke atas John ketika disoal siasat polis. Namun begitu, belum sempat keputusan dikeluarkan, John dengan selambanya telah mengakui kesalahannya.

“Awak tidak perlu beritahu saya keputusannya. Saya tahu saya bersalah. Boleh penggilkan penyiasat tadi supaya masuk semula?” ujar John.

“Saya minta maaf kerana menghabiskan masa kamu semua. Saya akan tunjukkan di mana kamu boleh menjumpai mayat dia (Jessica),” tambah John lagi.

John Couey mengaku bahawa dia telah menculik Jessica Lunsford, 9, di rumah datuk dan neneknya pada kira-kira jam 3 pagi. Lelaki itu pada mulanya hanya mahu merompak kediaman tersebut sebelum terlihat Jessica lalu segera menukar arah jenayahnya.

Jessica telah dibawa ke rumah kakaknya sebelum dirogol berkali-kali. Menurut John, dia hanya menyimpan mangsanya di dalam almari rumah semasa pihak polis menjalankan siasatan rumah ke rumah.

“Mereka (polis) datang ke rumah saya tetapi tidak masuk untuk melakukan siasatan. Entah kenapa saya berharap mereka masuk ke dalam. Mungkin dengan cara itu, Jessica pasti akan ditemui,” kata John.

Menurut John, dia berjanji kepada Jessica bahawa dia akan menghantarnya pulang sekiranya kanak-kanak itu masuk ke dalam sebuah beg plastik sampah. John memberikan alasan dia berbuat demikian kerana tidak mahu sesiapa mengesyaki dia adalah dalang di sebalik kes terbabit.

Jessica yang naif terus sahaja mempercayai John lalu masuk ke dalam plastik sampah yang dikatakan. Walau bagaimanapun, gadis itu tidak pernah tiba ke rumahnya kerana John telah mencampakkannya ke dalam sebuah lubang sebelum menanam gadis itu hidup-hidup.

Pada 19 Mac 2005, mayat Jessica Lunsford ditemui di dalam sebuah lubang di belakang rumah John Couey. Ketika mayatnya ditemui, kanak-kanak itu sedang memegang erat satu patung ikan lumba-lumba yang dihadiahkan bapanya suatu ketika dahulu. Siasatan menunjukkan Jessica cuba untuk bertahan dengan bernafas melalui dua lubang kecil pada plastik yang berjaya dikoyaknya. Namun begitu, usahanya gagal dan dia meninggal dunia setelah kehabisan oksigen.

John Couey dijatuhkan hukuman mati setelah pihak polis berjaya menemukan DNA John pada badan si mati dan di atas cadar katil. Namun begitu, John dilaporkan meninggal dunia pada 2009 di dalam penjara akibat sakit tua.

Berhubung dengan kematian Jessica, keluarganya telah melakukan satu petisyen memperkenalkan satu undang-undang baru yang diberi nama Jessica’s Law sempena nama kanak-kanak malang terbabit.

Menurut Mark, undang-undang itu memperuntukkan pesalah yang melakukan serangan seksual terhadap kanak-kanak buat kali pertama boleh dihukum penjara sekurang-kurangnya 25 tahun dan hukuman maksimum seumur hidup di dalam penjara.

“Jessica’s Law mampu untuk mengelakkan seseorang penjenayah untuk melakukan kesalahan sama berulang kali. Mereka akan terus disumbat ke dalam penjara apabila ditangkap buat kali pertama sekali gus mampu mengurangkan kadar jenayah seksual terhadap kanak-kanak,” ujar Mark.

Sumber:

Artikel Lain Untuk Di Baca