Menerusi satu serbuan bersama Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu, polis telah menahan seorang doktor berusia 51 tahun di kliniknya selepas lelaki itu disyaki mengeluarkan sijil suntikan vaksin COVID-19 palsu di Marang, Terengganu.
Memetik laporan Bernama, Ketua Polis Terengganu iaitu Datuk Rohaimi Md Isa berkata siasatan awal mendapati 1,900 individu berurusan dengan klinik tersebut bagi tujuan vaksinasi.
“Daripada 1,900 individu yang berurusan dengan klinik tersebut bagi tujuan vaksinasi, kami masih menyiasat berapakah jumlah sebenar yang tidak mendapatkan suntikan tetapi hanya mendapat sijil vaksin palsu.
Setiap individu yang ingin mendapatkan sijil vaksinasi palsu difahamkan perlu membayar antara RM400-RM600 berbanding harga sebenar suntikan RM300 sahaja,” ujarnya.

Rohaimi berkata individu dari luar Terengganu dipercayai turut menggunakan khidmat doktor itu bagi mendapatkan sijil vaksinasi palsu.
Menurut Rohaimi lagi, doktor yang mengaku dirinya sebagai golongan antivaksin itu dipercayai melakukan kegiatan tersebut secara bersendirian di dalam bilik rawatan tanpa menerima bantuan daripada kakitangan klinik lain.
“Kami dapati kebanyakan pelanggannya berurusan secara dalam talian. Kami akan cuba dapatkan maklumat daripada e-mel dalam komputer riba yang turut dirampas dari klinik berkenaan.
Walaupun doktor itu mengaku antivaksin, beliau sudah menerima suntikan vaksinasi COVID-19 mungkin atas sebab tuntutan kerjayanya sebagai doktor,” tambahnya.
Dalam pada itu, suspek dipercayai menggunakan ejen yang diberi komisen sebanyak RM50 untuk mempromosikan khidmatnya. Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
Ketua Polis Terengganu berkenaan turut menegaskan perbuatan doktor bertauliah itu bukan sahaja merupakan satu jenayah tetapi ia boleh membawa musibah kepada kesihatan masyarakat.
Polis merampas 1,900 sijil vaksin Covid19 bernilai hampir sejuta ringgit dipercayai palsu yang DIKELUARKAN oleh sebuah klinik swasta di Marang kepada anti vaksin. Seorang Doktor lelaki berusia 51 tahun dicekup bagi membantu siasatan. Setiap sijil dijual RM400-500. @BuletinTV3 pic.twitter.com/hf8FKVa8b3
— Mohd Ishak Abdillah Ngah (@ShaqNewsMPB) January 10, 2022
Untuk baca artikel-artikel berkaitan, anda boleh klik pada pautan di bawah: