Disyaki Ambil Nyawa Sendiri Kerana Masalah Kewangan, 3 Beranak Ini Ditemui Tenggelam Dalam Kereta

Sepasang suami isteri dan anak perempuan mereka berusia 10 tahun yang dilaporkan hilang telah ditemui menghembuskan nafas terakhir di dalam sebuah kereta yang tenggelam di perairan Wando, Korea Selatan.

Memetik laporan The Korea Herald, pihak polis mengesyaki bahawa keluarga berkenaan menamatkan riwayat sendiri kerana mengalami masalah kewangan selepas menemui kriptowang dan pil tidur dalam sejarah carian internet ibu bapa Cho Yu-na sebelum keluarga itu menghilangkan diri.

Ia juga dilaporkan mereka dibebani hutang kad kredit kira-kira 100 juta won (RM340,087) kerana dipercayai telah melabur sejumlah wang dalam kriptowang luna yang telah runtuh berdasarkan testimoni individu-individu yang mengenali keluarga itu.

Balai polis Gwangju Nambu mengesahkan bahawa ketiga-tiga badan yang ditemui di dalam sebuah kereta sedan Audi dalam keadaan terbalik pada Selasa lalu merupakan jasad kanak-kanak itu dan ibu bapanya yang dilaporkan hilang.

Sumber: The Korea Herald

Pihak polis mengesahkan identiti ketiga-tiga jasad itu melalui pemeriksaan cap jari. Ini kerana cap jari kanak-kanak berusia 10 tahun itu telah didaftarkan dalam sistem bagi pencegahan kanak-kanak hilang.

Yuna dan ibunya duduk di bahagian belakang penumpang tanpa memakai tali pinggang keledar. Bapanya pula berada di tempat duduk pemandu dengan memakai tali pinggang keledar.

Walaupun jasad mereka telah dihantar untuk tujuan bedah siasat, Perkhidmatan Forensik Kebangsaan masih belum dapat mengenal pasti punca tiga sekeluarga itu meninggal dunia.

Jasad mangsa sudah mereput kerana berada di dalam air untuk satu tempoh yang lama. Pihak Perkhidmatan Forensik Kebangsaan akan menjalankan lebih banyak ujian terhadap jasad tetapi ia mengambil masa kira-kira sebulan sebelum keputusan bedah siasat itu keluar.

Dalam pada itu, pihak polis turut menyiasat kemungkinan lain seperti kemalangan kereta memandangkan lokasi keluarga Cho sebelum mereka meninggal dunia masih tidak diketahui lagi.

Apa pendapat anda?

Untuk baca artikel-artikel berkaitan, anda boleh klik pada pautan di bawah:

Artikel Lain Untuk Di Baca