Disyaki Ambil Nyawa Kekasih Kerana Cemburu, YouTuber Dan 3 Rakan Ditahan Polis

*Gambar di atas hanya sekadar hiasan.

Seorang YouTuber dan tiga orang rakannya ditahan polis berhubung insiden teman wanitanya cedera parah dipukul sebelum meninggal dunia.

Ketua Polis Daerah Barat Daya iaitu Superintenden Kamarul Rizal Jenal mengesahkan bahawa pihaknya telah menahan keempat-empat suspek yang berusia di antara 23 sehingga 28 tahun di sekitar Teluk Kumbar, Pulau Pinang untuk membantu siasatan.

Memetik laporan Harian Metro, pihak polis menerima laporan daripada seorang doktor di Hospital Balik Pulau, Pulau Pinang pada 10.39 malam Sabtu lalu yang memaklumkan bahawa seorang wanita berusia 20 tahun dibawa ke hospital itu selepas mangsa tidak sedarkan diri dan berada dalam keadaan kritikal.

Kamarul berkata, “Pemeriksaan ke atas mangsa mendapati terdapat kesan lebam di kepala dan seluruh tubuhnya sebelum wanita itu dihantar ke Hospital Pulau Pinang (HPP) untuk rawatan lanjut berikutan keadaannya kritikal.”

Menurut Kamarul lagi, mangsa yang juga seorang Youtuber telah menghembuskan nafas terakhir pada 3 April lalu ketika menerima rawatan di HPP.

Gambar di atas hanya sekadar hiasan. Sumber: The Vocket

Keempat-empat lelaki itu direman sehingga 11 April ini bagi membantu siasatan dan kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu kesalahan bunuh.

Mangsa mengalami kecederaan parah dipercayai dipukul teman lelakinya sebelum wanita itu meninggal dunia. Insiden tersebut berlaku selepas pasangan kekasih itu bertengkar disyaki bermotifkan cemburu.

Mangsa dan teman lelakinya menumpang di rumah sewa rakan sejak tiba di Pulau Pinang pada 27 Mac lalu untuk video YouTube mereka. Pergaduhan membabitkan pasangan itu dipercayai bermula dengan pertengkaran sebelum teman lelakinya dikatakan memukul mangsa dengan objek tumpul sehingga mangsa tidak sedarkan diri.

Wanita tersebut dikejarkan ke Hospital Balik Pulau namun dirujuk ke Hospital Pulau Pinang untuk rawatan lanjut sebelum meninggal dunia.

Untuk baca artikel-artikel berkaitan, anda boleh klik pada pautan di bawah:

Sumber:

Artikel Lain Untuk Di Baca