Disuntik Supaya Berhenti Haid, Wanita Ini Dedah Kekejaman Dialami Di Kem Tahanan Xinjiang

Selepas 15 bulan menjadi tahanan di ‘kem pemulihan’ dekat Xinjiang, seorang wanita tampil membuka mulut mengenai penderitaan yang dialaminya.

Baru-baru ini, Gulbahar Jalilova, 54, telah dijemput oleh Taiwan Uyghur Association dan Taiwam Friends of Tibet untuk berkongsikan kisahnya menjadi mangsa tahanan di kem Xinjiang.

Namun begitu, wanita berkenaan berkata tujuan dia bersetuju untuk membongkar kisah penderitaannya adalah kerana rasa tanggungjawab terhadap saudara-saudara yang masih ditahan.

Dituduh sebagai penganas

Dalam satu temu bual pada 25 Oktober lalu, Gulbahar mendedahkan kisahnya dengan negara China bermula pada tahun 1977 yakni ketika ibu tunggal kepada tiga orang anak itu merupakan seorang peniaga yang datang membeli pakaian di Xinjiang, China sebelum dijual semula di Kazakhstan.

Pada bulan Mei 2017, Gulbahar yang sedang berada di Xinjiang seperti kebiasaannya telah ditahan di pusat penginapannya di Urumqi.

Wanita itu kemudiannya diberikan satu dokumen yang terkandung nama dan tarikh lahir dan tuduhan bertulis yang mengatakan dirinya adalah seorang pengganas.

Gulbahar telah dibawa ke sebuah balai polis di mana sesampainya di situ, telefon bimbitnya dirampas dan dia disoal siasat mengenai kegiatannya di luar negara selama lebih dari 12 jam.

Pada malam itu, Gulbahar dibawa keluar dari balai polis berkenaan dan dihumban ke dalam penjara.

Permulaan mimpi ngeri

Semasa di dalam penjara, Gulbahar mendedahkan dia disuruh berbogel untuk menjalani satu pemeriksaan fizikal selain turut diminta mengambil ujian air kencing dan darah. Malah, gambar wajah Gulbahar juga diambil dari jarak dekat dan wanita itu dipaksa untuk senyum semasa proses berkenaan.

Seterusnya, Gulbahar dibawa ke sebuah bilik yang tidak bertingkap. Seramai 40 orang wanita mendiami ruangan tersebut. Setengah daripadanya berada di dalam keadaan berdiri manakala yang lain sedang berbaring. Masing-masing dirantai di kaki.

“Sebaik melihat keadaan tersebut, saya berasa seperti di rumah orang gila,” ujar Gulbahar.

“Saya terus menangis dan berteriak saya tidak bersalah.”

Menurutnya, dia segera dipujuk seorang wanita muda yang terlebih dahulu sudah menghuni bilik tersebut.

“Tiada sesiapa di antara kita di sini yang berbuat salah tapi kamu tidak boleh menangis. Jika mereka (polis China) ternampak, kamu akan disumbat ke dalam penjara gelap-gelita yang berukuran satu meter. Ada banyak tikus di sana,” kata gadis muda tersebut.

Kehidupan di penjara

Menurut Gulbahar lagi, individu paling muda yang berada di dalam bilik tahanan tersebut adalah seorang gadis berusia 14 tahun, manakala, usia paling tua pula ialah 80 tahun.

Kehidupan sehariannya semenjak ditahan termasuk harus menjalankan beberapa kerja-kerja berat dan menonton rakaman video propaganda. Tidak cukup dengan itu, kesemua wanita di dalam bilik tersebut harus hidup dalam keadaan sunyi sepi dan sering diperhatikan lensa kamera.

“Kami hanya makan roti kukus dan bubur dari tepung untuk sarapan. Manakala, hidangan sup kobis menjadi santapan tengah hari dan sup hijau yang kadangkala dihiasi cebisan timun buat makan malam,” terang Gulbahar.

Setiap tahanan di kem terbabit juga dipaksa untuk menyanyikan lima lagu patriotik termasuk lagu kebangsaan negara China.

Menurut Gulbahar lagi, bukan etnik Ugyhur sahaja yang ditahan di kem tersebut. Malah, mereka yang terdiri dari kaum Uzbeks, Kazaks, Tatars dan Cina Han juga dipenjarakan.

“Kerja-kerja kami di situ terbahagi mengikut etnik. Golongan Cina Han kebiasaannya akan ditugaskan dengan kerja-kerja pentadbiran. Manakala tugasan ‘kotor’ seperti menjalankan hukuman dan penyeksaan dikhususkan buat etnik Ughyur.”

Detik paling mencabar

Bagi Gulbahar, detik paling menakutkan adalah apabila tahanan dibawa ke sebuah bilik terasing untuk sesi soal siasat. Sesetengah wanita yang dibawa pergi tidak kembali semula ke ruangan penjara. Manakala sebahagian yang lain hanya akan kembali selepas hilang berjam-jam atau berhari-hari lamanya dengan kesan penderaan yang banyak.

“Melalui sesi soal siasat, saya dapat mengetahui tuduhan yang dikenakan ke atas saya. Menurut mereka, saya dituduh telah memberikan sejumlah wang berjumlah RM9,964 kepada seorang lelaki etnik Ughyur yang didakwa mempunyai kaitan dengan pengganas,” ujar Gulbahar.

Wanita itu mendedahkan dia dipukul sekiranya tidak mahu mengakui kesalahan tersebut. Malah, terdapat satu kejadian di mana dia diugut akan dirogol oleh seorang anggota polis muda berbangsa Cina-Kazakh sekiranya enggan memberikan kerjasama.

Selain itu, penyeksaan yang dialami Gulbahar dan wanita-wanita lain di kem tahanan tersebut termasuklah diberikan suntikan untuk menghentikan haid.

“Setiap 10 hari, kami akan disuntik. Kami tidak tahu apa kandungan suntikan tersebut namun ada sesetengah wanita muda sudah tidak datang haid selepas prosedur tersebut.”

Terang Gulbahar lagi, dia dikira sebagai bernasib baik kerana masih lagi diberi kekuatan mental. Sepanjang tempoh 15 bulan ditahan, seorang wanita di sel penjaranya hampir hilang akal selepas pulang dari sesi soal siasat.

“Dia mengambil najis di dalam tandas sebelum melumurkan ke mukanya sendiri dan dinding sambil menjerit. siapa lelaki sekarang!”

Gulbahar dibebaskan

Pada bulan September 2018, Gulbahar Jalilova akhirnya dibebaskan dari kem tahanan selepas kes kehilangannya diusulkan oleh seorang pegawai U.N. kepada kerajaan China.

Semenjak dibebaskan, Gulbahar merasakan dirinya sudah tidak seperti dahulu apabila dia menyedari kesihatan fizikal dan mentalnya semakin merosot.

“Saya mengalami kesukaran menghadam makanan. Selain itu, saya juga mengalami masalah anxiety dan panic attacks. Malah, saya juga sering berhalusinasi seolah-olah saya masih di dalam penjara.”

Gulbahar Jalilova akhirnya membuat keputusan untuk pergi ke Turki demi menjalani rawatan. Difahamkan, wanita terbabit masih lagi menetap di negara itu sehingga kini.

Artikel Lain Untuk Di Baca