KONGSIKAN

 

 

Anak lambat atau lembab dalam akademik kerana malas belajar atau mungkin Disleksia?

 

KENALI APA ITU DISLEKSIA

Disleksia bukannya satu penyakit, tetapi merupakan salah satu gangguan dalam pembelajaran yang biasanya dialami oleh kanak-kanak. Kanak-kanak Disleksia mempunyai masalah menguasai tugasan sekolah, walaupun mereka telah berusaha bersungguh-sungguh. Masalah asas kanak-kanak yang menghidap disleksia adalah perbezaan cara otak berfungsi dalam menghubungkan simbol visual dengan bunyi. Mereka mungkin mengalami kesukaran untuk membaca, menulis, memahami, mengeja dan mengira.  Fakta mengatakan kanak-kanak lelaki lebih ramai bermasalah Disleksia berbanding perempuan.

Mereka yang mempunyai disleksia bukannya menghadapi kecacatan malah sebahagian daripada orang-orang yang terkenal juga mempunyai disleksia. Antaranya Albert Einstein, Tom Cruise dan Steve Jobs. Ibu bapa perlu peka dalam mengesan anak-anak mereka sekiranya ada yang menghidap Disleksia.

 

 

8 TANDA DISLEKSIA PADA ANAK YANG IBU BAPA PERLU TAHU

Menurut Dr Juliana Hashim menerusi Doktorbudak.com, tanda disleksia boleh dikenalpasti seawal umur anak 5 ½ tahun. Ia adalah masalah yang dialami oleh otak untuk menterjemahkan imej tulisan kepada kefahaman. Ia melibatkan masalah pembelajaran disebabkan kelainan struktur dan fungsi otak.

 

1. MASALAH LEWAT PERTUTURAN

Ada banyak sebab yang menjadi punca seseorang anak lambat bercakap. Disleksia adalah salah satu daripadanya. Biasanya, mereka lambat mengenalpasti suatu perkataan baru dan kurang cekap menamakan objek.

Akibat kesukaran memproses maklumat, seseorang yang mengalami disleksia juga selalu tersasul apabila menyebut perkataan yang agak panjang; seperti tersilap menyebut ‘kepala’ untuk ‘kelapa’.

 

 

2. LAMBAT MEMBACA

Antara sebab disleksia menjadikan anak susah membaca adalah masalah mengenal huruf, apatah lagi untuk membaca. Mungkin ada antara anak ini yang memberi alasan ‘tidak nampak’ atau nampak huruf tersebut seakan-akan ‘bergerak’ di atas kertas.

Proses mengajarkan anak disleksia untuk membaca nampak begitu lambat berbanding anak normal. Mereka sukar diajar dengan kaedah fonik. Malah, sesetengah mereka akan berasa cenderung menghindari kegiatan membaca dan menulis sama sekali.

 

 

3. SUSAH MENULIS

Walaupun menyalin semula sesuatu huruf atau menulis perkataan di papan hitam nampak begitu mudah, namun ia boleh menjadi sesuatu yang sangat susah bagi anak yang mengalami disleksia.

Bukan setakat itu, mereka juga sering melakukan kesilapan dan tertukar huruf atau abjad; misalnya huruf “d” sering tertukar dengan huruf “b”, atau angka “6” dengan angka “9”.

 

 

 

4. BERPEWATAKAN CUAI

Sesetengah anak disleksia menampakkan ciri seperti cuai dalam pergerakan motor. Mereka ini mungkin mudah jatuh, sering tersalah pakai kasut, atau menghadapi masalah untuk melompat.

Selain itu, bahagian anggota tangan yang dominan juga tidak dapat dikenal pasti.

 

 

 

5. SUKAR MEMAHAMI ARAHAN

Arahan yang panjang sukar untuk diproses oleh pemikiran anak disleksia. Ini kerana tidak mudah bagi mereka untuk menggarap konsep yang biasa digunakan seperti atas/bawah, dalam/ luar, depan/belakang. Mereka juga sukar mengenalpasti kiri dan kanan.

 

 

 

6. MUDAH LUPA

Sebenarnya, individu disleksia boleh berjaya kerana IQ mereka sama sahaja dengan orang lain. Cuma, masalah mudah lupa terhadap sesuatu yang baru berlaku (short term memory lost) menyebabkan mereka sukar belajar.

Jika tidak diatasi dengan teknik pembelajaran yang sewajarnya, ia boleh menyebabkan perasaan malu, kurang keyakinan, dan rasa tertekan di kalangan anak-anak.

 

 

 

7. MASALAH BELAJAR MATEMATIK

Selain membaca, disleksia juga boleh menjadi punca seseorang mengalami kesulitan memahami konsep matematik yang asas seperti penambahan dan pengurangan.

Mereka juga mungkin berasa sukar mengenal masa atau membaca jam dan berasa susah mengingat hari, tarikh lahir, alamat, nombor telefon.

 

 

 

 

8. LEBIH TERSERLAH BAKATNYA DALAM BIDANG KREATIF

Anak yang kurang konsentrasi dalam membaca atau menulis mungkin akan menampakkan lebih minat dalam aktiviti berbentuk hands-on. Ia boleh mendorong mereka untuk cenderung kepada aktiviti berunsur seni dan artistik seperti lukisan, rekacipta, membuat kraftangan, atau lakonan.

 

Kepada ibu bapa yang mempunyai anak yang mengalami masalah disleksia, jangan teragak-agak untuk mendapatkan rawatan dan terus memberikan sokongan kepada anak-anak anda. Mereka tidak boleh dibiarkan berterusan belajar dalam keadaan yang tertekan kerana ada teknik tertentu yang lebih sesuai untuk diajarkan kepada mereka. Ibu bapa boleh mendapatkan pandangan dan rujukan daripada Persatuan  Disleksia Malaysia yang merupakan sebuah persatuan yang memberi tumpuan kepada masalah pembelajaran individu yang menghidap masalah disleksia.