Diskriminasi Wujud? Wanita Bertudung Dan Kaum India Ditindas, Sukar Dapat Temuduga

Siapa sangka, diskriminasi pekerjaan masih lagi wujud pada hari ini. Pusat Penyelidikan Swasta, Centre for Governance and Political Studies (Cent-GPS) telah membuat satu kajian berkaitan perkara ini di mana kajian tersebut merangkumi isu berkaitan panggilan temuduga dan sikap prejudis serta prasangka dalam kalangan majikan.

Menurut kajian tersebut, sebanyak 3829 resume telah dihantar untuk memohon lebih daripada 500 pekerjaan bermula Disember 2018 sehingga Februari 2019. Kesemua resume ini mewakili 7 individu yang sebenarnya tidak wujud.

1. Nur Sakinah: Merupakan seorang perempuan berbangsa Melayu yang bertudung

2. Zulaikha: Merupakan seorang perempuan berbangsa Melayu yang tidak bertudung

3. Kavita: Merupakan seorang perempuan berbangsa India

4. Nicola: Merupakan seorang perempuan berbangsa Cina

5. Thivakar: Merupakan seorang lelaki berbangsa India

6. Gabriel Liew: Merupakan seorang lelaki berbangsa Cina

7. Saddiq: Merupakan seorang lelaki berbangsa Melayu

Kesemua calon ini mempunyai kelayakan akademik dan penguasaan bahasa yang setaraf di mana mereka boleh berkomunikasi dalam bahasa Inggeris, Melayu dan Mandarin. Pengalaman bekerja mereka juga setaraf daripada segi kelayakan dalam tuntutan kerjaya yang dipohon.

Dua kakitangan Cent-GPS berbangsa Melayu yang terdiri daripada seorang lelaki dan perempuan telah diarahkan ‘berlakon’ sebagai 7 individu tersebut. Solekan yang berbeza telah dikenakan terhadap mereka sehingga kelihatan seperti ‘watak’ yang dibawa dalam resume masing-masing.

“Setiap seorang (daripada tujuh individu) menghantar sebanyak 547 resume kepada pelbagai syarikat bagi memohon pekerjaan. Kesemua resume berkenaan memaklumkan pemohon mempunyai latar belakang akademik atau lulusan perniagaan,” ujar Zaidel yang merupakan penyelidik Cent-GPS.

Hasil kajian mendapati bahawa calon-calon berbangsa Cina mendapat lebih banyak panggilan temuduga berbanding mereka yang berbangsa Melayu dan India. Graduan berbangsa India dan perempuan bertudung adalah antara kumpulan yang paling tertindas dalam proses pengambilan pekerja bagi sektor swasta.

“Adakah diskriminasi etnik wujud? Ya, namun bukan sahaja bagi kaum Melayu, tetapi kumpulan etnik India yang paling ditindas,” kata penyelidik ini lagi.

Menurut Zaidel, pihak Cent-GPS tidak hanya melakukan kajian secara rambang untuk membuktikan bahawa berlakunya penindasan dalam isu ini. Pengalaman mangsa yang ditindas turut diambil sebagai inisiatif untuk menguatkan lagi hujah dalam kajian ini.

Diskriminasi bagi wanita bertudung itu sememangnya wujud apabila hanya 50 sahaja daripada permohonan yang dihantar dipanggil untuk temuduga berbanding 70 bagi calon yang tidak bertudung.

“Pemakaian hijab memainkan peranan untuk graduan wanita memohon pekerjaan,” tegas Zaidel.

Faktor kefasihan dalam bahasa Mandarin juga merupakan salah satu penemuan daripada kajian tersebut. Mereka yang mempunyai kelebihan fasih berbahasa Mandarin dikatakan mempunyai peluang yang lebih tinggi untuk dipanggil temuduga. Namun begitu, walaupun kesemua 7 calon mempunyai kelebihan itu, mereka yang bukan berbangsa Cina gagal untuk mendapat kadar panggilan temuduga sepertimana yang diperoleh oleh kaum Cina.

Syarikat-syarikat swasta sepatutnya mengambil iktibar bagi mengurangkan jurang peluang pekerjaan antara kaum. Mereka perlu sedar bahawa sebenarnya, mereka yang rugi dan kehilangan bakat apabila kaum-kaum tertentu diabaikan hanya sebab warna kulit mereka yang berbeza.

Semoga selepas ini tiada lagi isu seperti ini berlaku. Sesungguhnya, semua kaum berhak mendapat pekerjaan berdasarkan kelayakan mereka dan bukannya warna kulit yang perlu diambil kira.

Artikel Lain Untuk Di Baca