Hanya kerana dirinya mengenakan hijab, hasrat seorang pelajar Institut Pengajian Tinggi (IPT) untuk mencari duit poket dengan bekerja secara sambilan tidak kesampaian.

Permohonan gadis berkenaan yang dikenali sebagai Nadiah untuk bekerja secara sambilan di salah sebuah premis pakaian berjenama di One Utama, Petaling Jaya ditolak mentah-mentah gara-gara dia memakai hijab.

Gadis berusia 19 tahun itu memberitahu, dia mahu bekerja secara sambilan kerana mahu mengisi masa cuti semesternya di samping mencari duit poket sendiri.

“Pada minggu lepas, saya mencuba nasib pergi ke sebuah premis pakaian terkenal di One Utama untuk memohon kerja secara sambilan. Selepas bertanyakan sama ada mereka perlukan pekerja sambilan, staf di situ hanya pandang saya ‘semacam’,” katanya.

“Dia tanya saya sama ada pakai tudung atau tidak padahal ketika itu, memang dia nampak saya berhijab. Ketika itu jugalah saya mengeyakan pertanyaan itu,” ujarnya.

“Selepas itu, dia (staf premis) beritahu saya bahawa mereka tidak mengambil pekerja bertudung kerana itu adalah polisi syarikat,” tambahnya lagi.

Menurut Nadia, alasan yang diberikan itu sememangnya satu bentuk diskriminasi.

“Sebenarnya, isu diskriminasi terhadap wanita bertudung untuk dapatkan kerja terus ada di negara sendiri. Saya sangat pelik dan terkejut kerana pada masa sekarang, ia masih lagi berlaku.”

“Saya memang tidak faham kenapa wanita bertudung perlu berdepan dengan situasi ini di kala mereka memerlukan pekerjaan.”

“Di United Kingdom, wanita berhijab dibenarkan bekerja tanpa sebarang isu di cawangan butik pakaian yang sama seperti di sini,” katanya.

Mangsa diskriminasi itu memberitahu, sebaik sahaja insiden itu berlaku, dia terus memberitahu rakannya mengenai isu ini menerusi aplikasi WhatsApp.

“Saya meluahkan perasaan kepadanya dan dia juga terkejut. Selepas itu, dia berkongsi perkara ini di laman Twitter,” katanya.

“Saya terkejut kerana menerusi perkongsian itu, saya dapat tahu sebenarnya ramai juga wanita berhijab yang mengalami nasib sama seperti saya.”

“Saya memang mahu isu diskriminasi terhadap wanita bertudung ini diberi perhatian oleh pihak berkaitan. Kenapa ia masih berlaku lagi?”

Perkongsian rakannya, @heidishaz di laman Twitter pada Rabu lalu mendapat lebih 6,000 ulang kicau.

Pada masa yang sama, rata-rata warganet turut berkongsi pengalaman mereka yang mengalami nasib sama seperti Nadiah.

Pada 5 tahun lepas, isu sama seperti ini melibatkan anak pelakon terkenal, Datuk Rosyam Nor pernah tular.

Ketika itu, anak perempuannya berusia 17 tahun diarah membuka tudung sebagai syarat ditawarkan untuk bekerja di sebuah butik permainan kanak-kanak, lapor mStar.

Ikuti Kami Di Ruang Internet Anda
Sumber:

mStar