Disiat Kulit Keseluruhan Badan, Gajah Mati Di Tangan Pemburu Haiwan

Seekor gajah liar ditemui mati dengan kulit badannya disiat di Myanmar. Kejadian yang berlaku di daerah Ayeyarwady itu merupakan kejadian kedua seumpamanya yang berlaku pada tahun ini.

Wakil Jabatan Perhutanan Myanmar melaporkan bangkai gajah betina yang berusia 23 tahun itu ditemui di kawasan hutan simpan Myinttayar. Kawasan tersebut sememangnya menjadi tumpuan pemburu haram. Bangkai gajah tersebut disahkan sudah mati lebih kurang dua hari yang lalu.

Menurut laporan dari United Nations Office on Drugs and Crimes (UNODC), Myanmar telah menjadi salah satu negara yang mempunyai permintaan kulit gajah di pasaran pada tahun ini. Sering kali, kulit-kulit gajah dapat dijumpai dijual di pasaran seperti di Mine Lar dan Tacheilek di mana produk haiwan liar dipasarkan secara berleluasa.

Kerajaan Myanmar telah mengambil beberapa inisiatif untuk mengurangkan aktiviti penjualan produk haiwan liar dan pemburuan gajah liar. Sebuah muzium dibina bagi memberi kesedaran tentang masalah ini. Selain itu, pihak kerajaan turut memusnahkan bahagian haiwan liar yang disita dari pemburu haram untuk dijadikan amaran buat masyarakat bahawa pemburuan haram tidak akan diberi muka.

Dikatakan kebanyakan gajah liar yang diburu berada dalam kawasan Ayeyarwady dan Yangon. Di Ayeyarwady, sebanyak lima hingga tujuh ekor gajah liar sudah mati di tangan pemburu haram pada tahun ini. Manakala di Yangon pula, sejumlah tiga hingga empat gajah liar diburu dalam tempoh yang sama.

Dianggarkan Myanmar kini mempunyai 1,400 hingga 2,000 ekor gajah sahaja. Jumlah ini sudah semakin merosot berbanding 10,000 ekor gajah pada tahun 1940an.

Selain pemburu haram, kehilangan habitat dan konflik pertemuan antara gajah dan manusia turut menyumbang kepada kemerosotan populasi gajah liar di negara itu.

Sumber:

Artikel Lain Untuk Di Baca