Disamun Ketika Hantar Makanan, Tangan Gadis 17 Tahun Ini Terpaksa Dipotong

Seorang gadis yang telah menjadi mangsa samun di Jalan Kuching menghala pusat bandar pada Khamis lalu terpaksa dipotong tangannya sehingga paras bahu kerana cedera parah dan mulai membiru.

Kejadian tersebut berlaku ketika Siti Nur Azizah Syafriadi bersama teman lelakinya membonceng motosikal Y15ZR dari arah Jalan Kuching menghala ke Jinjang.

Mereka berdua kemudiannya telah dikejar oleh tiga orang lelaki yang menunggang dua motosikal sekitar jam 12:10 tengah malam.

Tiga lelaki berkenaan menendang motosikal yang dinaiki pasangan itu sebelum menyamun mereka.

Nur Azizah mengalami cedera di bahu kanan, manakala teman lelakinya cedera pada bahagian muka dan badan dipercayai akibat daripada dipukul suspek.

Menurut ahli keluarga Nur Azizah, doktor tidak dapat menyelamatkan tangan kanannya yang sudahpun tidak boleh berfungsi lagi walaupun saluran darah utama sudah dijahit.

Doktor terpaksa membuang tangan kanannya sehingga paras bahu walaupun ketika Nur Azizah dimasukkan wad kecemasan, pihak doktor telah menjahit saluran darah utama.

Namun, pada pagi Jumaat, doktor mendapati bahawa tangan mangsa sudah mula membiru dan sudah tidak berfungsi.

Susulan itu, doktor telah menghubungi waris mangsa untuk meminta kebenaran memotong tangan kanannya itu.

Nur Azizah yang merupakan anak sulung daripada lima orang adik beradik dan kini sedang dirawat di Hospital Kuala Lumpur (HKL).

Menurut abang saudara Nur Azizah, mangsa mengambil alih tanggungjawab untuk membantu menambah pendapatan keluarga dengan menjual dan membuat perkhidmatan menghantar makanan setelah ayahnya meninggal dunia.

Kata abang saudaranya, “Dia anak sulung cari rezeki siang malam hantar makanan, tapi dia dianiaya sampai kudung tangannya. Dia merupakan anak yatim dan dia disamun ketika sedang keluar cari rezeki.”

Selaku abang saudara mangsa, dia amat berharap agar ketiga-tiga orang suspek terbabit berjaya ditangkap dan mendapat hukuman yang setimpal dengan perbuatan mereka.

Tambahnya lagi, “Kepada penyamun ingat ya… dia ada abang saudara yang masih hidup, mak saudara yang masih hidup. Kami akan pastikan ketiga-tiga suspek mendapat hukuman setimpal dengan undang-undang di Malaysia.”

Ketua Polis Daerah Sentul Beh Eng Lai mellaporkan bahawa pihak polis sedang giat mengesan suspek dan kes disiasat mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan iaitu sengaja menyebabkan cedera semasa melakukan rompakan.

Beh meminta agar saksi kejadian atau sesiapa yang mempunyai maklumat mengenai suspek untuk menghubungi Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul di talian 03-40482206.

Untuk baca artikel-artikel berkaitan, anda boleh klik pada pautan di bawah:

Artikel Lain Untuk Di Baca