Seorang warga emas India berusia 76 tahun yang dipercayai telah meninggal dunia akibat positif COVID-19, membuka matanya beberapa minit sebelum upacara pembakaran mayatnya dilakukan.
Mengikut portal berita tempatan di India, wanita yang bernama Shakuntala Gaikwad dari Baramati itu disahkan positif COVID-19 minggu lepas.
Beliau dibawa ke hospital pada 10 Mei setelah kesihatannya semakin merosot. Namun, keluarganya tidak mendapat tempat untuknya kerana wad penuh.
Ketika mereka menunggu di dalam kereta, warga emas tersebut pengsan dan tidak bergerak menyebabkan keluarganya menyangka beliau telah meninggal dunia.
Keluarganya turut melaporkan kematiannya dan juga mengenai upacara pembakaran mayatnya yang akan dilakukan kepada saudara-mara.
Sejurus itu, ‘mayat’ beliau dibawa pulang untuk membuat persiapan upacara pembakaran mayat dan kemudian beliau diletakkan di atas usungan jenazah.
Dikelilingi oleh ahli keluarga, beberapa minit sebelum pembakaran mayat dilakukan, Shakuntala mula menangis dan membuka matanya.
Laporan portal berita tersebut mengatakan pegawai polis Santosh Gaikwad mengesahkan kejadian tersebut berlaku di kampung Mudhale, Baramati.
Menurut pengasas Hospital Silver Jubilee, Dr Sadanand Kale, warga emas itu kemudiannya dibawa ke hospital untuk menerima rawatan lanjut.
India masih lagi dalam keadaan yang kritikal setelah dilanda gelombang kedua coronavirus dan melaporkan rekod tertinggi kes baharu hari demi hari.
Dilaporkan, kes positif baharu negara itu telah mencecah lebih 326,000 dalam tempoh 24 jam Sabtu lepas.
Manakala kes kematian dilaporkan mencecah 4,000 kes setiap hari.
India merekodkan lebih 24 juta kes dan lebih dari 270,000 kematian setakat ini, mengikut laporan Universiti Johns Hopkins.
Pakar mengatakan angka sebenar mungkin lima hingga sepuluh kali ganda lebih tinggi daripada yang dilaporkan.
Untuk baca artikel-artikel berkaitan, anda boleh klik pada pautan di bawah: