Keajaiban itu benar-benar wujud. Ia dapat dibuktikan menerusi kisah seorang remaja dari India ini di mana dia telah hidup kembali ketika ahli keluarganya sedang membuat persiapan untuk pengebumiannya. Terdahulu, doktor telah mengisytiharkan bahawa remaja berkenaan mengalami ‘mati otak’.
Remaja yang dikenali sebagai Gandham Kiran itu dilaporkan koma pada minggu lalu sebaik sahaja mengalami hepatitis teruk.
Keluarganya dimaklumkan bahawa pelajar berusia 18 tahun dari Pillalamarri, Telangana itu akan terus berada dalam keadaan sedemikian atau disebut sebagai vegetatif selama-lamanya. Malah, doktor juga mengatakan bahawa dia tidak mempunyai peluang untuk hidup.
Setelah mendengar nasihat doktor, keluarga Kiran mencapai kata sepakat untuk menerima takdir yang menimpa remaja berkenaan. Sewaktu mayat Kiran selesai dibalut dengan kain untuk proses pengebumian, ibunya sangat terkejut apabila melihat anak kesayangannya itu mengalirkan air mata.
“Saya terkejut dan segera memberitahu saudara-mara yang kemudian menghubungi doktor.”
“Kami diberitahu bahawa nadi anak saya masih ada dan bersyukur kerana alat bantuan pernafasan masih belum ditanggalkan,” kata Saidama kepada Hindustan Times.
Menurut Saidama, Kiran dibawa pulang bersama sistem sokongan hayat kerana dia mahu anak lelakinya itu menghembuskan nafas terakhir di kampung halaman mereka.
Tiga hari selepas Kiran kembali bernyawa, dia mula bercakap dan kini sedang menerima rawatan daripada doktor. Ternyata, tiada apa mustahil dalam dunia ini.